Itali lapor 475 kematian baharu akibat Covid-19


Jumlah kematian akibat Covid-19 di Itali mencecah 2,978, lebih separuh daripada semua kes yang direkodkan di luar China dengan jangkitannya sebanyak 35,713. – Gambar EPA, 19 Mac, 2020.

ITALI pada Rabu melaporkan 475 kematian baru akibat koronavirus, jumlah tertinggi bagi satu hari berbanding mana-mana negara sejak kes pertama dikesan di China lewat tahun lepas.

Jumlah kematian di Itali mencecah 2,978, lebih separuh daripada semua kes yang direkodkan di luar China, manakala jumlah jangkitannya berjumlah 35,713.

Rekod kematian tertinggi sebelum ini, sebanyak 368 kes juga direkodkan di Itali pada Ahad.

Negara dengan penduduk 60 juta itu kini mencatatkan 34.2% daripada jumlah keseluruhan kematian rasmi yang dikaitkan dengan Covid-19 di seluruh dunia.

Dengan kadar kematian terus meningkat walaupun ia memasuki minggu kedua di bawah tindakan pengurungan (lockdown), para pegawai mendesak rakyatnya terus yakin dan bertahan.

“Perkara utama yang perlu dibuat, jangan berputus asa,” kata Ketua Institut Kesihatan Itali, Silvio Brusaferro dalam sidang akhbar yang disiarkan ke seluruh negara.

“Ia akan mengambil masa beberapa hari sebelum kita melihat kebaikan langkah pembendungan,” kata Brusaferro.

“Kita mesti mengekalkan langkah ini untuk melihat kesannya, dan paling utama untuk melindungi mereka yang mudah terjejas.”

Dilaksanakan pada 12 Mac, penutupan kebanyakan perniagaan Itali dan pengharaman perhimpunan awam akan berakhir pada 25 Mac.

Tetapi penutupan sekolah dan langkah lain, seperti larangan kehadiran peminat pada acara sukan, akan berlanjutan hingga 3 April.

Seorang menteri utama kerajaan membayangkan pada Rabu bahawa penutupan sekolah akan dilanjutkan ke bulan depan.

Kadar di dalam Itali kekal stabil, dengan dua pertiga kematian - jumlah keseluruhan 1,959 - dilaporkan di wilayah Lombardy utara sekitar Milan, pusat kewangan dan fesyen Itali.

Wilayah Emilia-Romagna di Bologna mempunyai 458 kematian, dan rantau Turin di Piedmont 154 kematian.

Kawasan Lazio di Roma merekodkan 32 kematian dan 724 kes jangkitan. – AFP, 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen