Peneroka harap Muhyiddin pulih hubungan dengan pengimport minyak sawit


Mohd Farhan Darwis

Peneroka Felda harap kerajaan baharu akan memulihkan hubungan dengan negara pengimport utama komoditi sawit yang terjejas semasa pentadbiran PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

PENEROKA Felda berharap kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin memulihkan hubungan dengan negara pengimport utama komoditi sawit yang terjejas semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Seramai 10 peneroka rancangan Felda yang ditemubual di Selangor, Johor, Pahang dan Perak menuding jari kepada bekas perdana menteri itu yang didakwa menyebabkan kejatuhan harga kelapa sawit.

Mereka antara lain membangkitkan kenyataan Dr Mahathir yang menimbulkan kemarahan India pada Oktober lalu dan menyebabkan negara itu menyekat import minyak sawit Malaysia.

Seorang peneroka dari Felda Sungai Tengi, Abu Bakar, 76, percaya pertembungan Dr Mahathir dengan negara pengimport itu menyebabkan kejatuhan harga kelapa sawit.

Kenyataan Dr Mahathir mengenai Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) juga menjejaskan permintaan China, katanya.

“Bila Dr Mahathir bergaduh dengan China dan India, kita nampak harga kelapa sawit jatuh teruk, masa India sekat beli minyak kelapa sawit, harga jatuh hingga paras RM300 satu tan metrik.

“Masa Pakatan Harapan (PH) baru jadi kerajaan, Dr Mahathir bergaduh dengan China, tak mahu teruskan projek keretapi itu.

“Apabila mereka tak beli minyak kelapa sawit kita, habislah peneroka dan pekebun kecil, harga jatuh,” katanya,merujuk kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sepanjang dua tahun pentadbiran PH, Abu Bakar berkata harga tertinggi komoditi itu yang pernah direkodkan hanyalah sekitar RM600 satu tan.

“Sepanjang tempoh itu, rekod paling rendah, harga satu tan metrik pernah jatuh hingga RM300. Kita nak makan apa?” katanya.

Menurutnya, harga terkini komoditi itu adalah RM460 satu tan, jatuh berturut-turut sejak Disember tahun lalu, daripada RM590 satu tan.

Selepas berlaku pertukaran kerajaan dan Dr Mahathir tidak lagi menjadi perdana menteri, media India melaporkan kerajaan negara itu menarik balik sekatan tersebut.

Seramai 10 peneroka rancangan Felda yang ditemubual di Selangor, Johor, Pahang dan Perak berkata Dr Mahathir Mohamad menyebabkan kejatuhan harga kelapa sawit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

Peneroka yang ditemui The Malaysian Insight juga mengaku lega selepas Dr Mahathir tidak lagi menjadi perdana menteri.

Seorang daripadanya Mohd Isa Man, 76, berkata Dr Mahathir juga tidak mengambil berat kebajikan peneroka ketika menjadi perdana menteri keempat selama 22 tahun bersama Barisan Nasional (BN).

“Selama 22 tahun Dr Mahathir perintah dulu, peneroka ini tidak ada apa, tambah dua tahun lagi dengan PH, kosong, apa bantuan pun tidak ada.

“Beza sembilan tahun bawah (bekas perdana menteri) Najib (Razak), ada pinjaman rumah, ada bonus hasil jualan, ada insentif, duit raya, macam-macam lagi.

“Kami para peneroka ini rasa ada istimewanya zaman Najib perintah. Bawah Muhyiddin ini nanti kita harap-harap baguslah,” tambahnya.

Muhammad Danial Aiman Zainuddin, 26, pula menyelar tindakan kerajaan PH menghentikan serta-merta bantuan kebajikan yang pernah diterima peneroka sewaktu pentadbiran Najib.

Generasi ketiga peneroka Felda itu berkata, dengan kejatuhan harga komoditi, penamatan bantuan berkenaan mengakibatkan peneroka merasakan kerajaan seolah-olah tidak mempedulikan mereka.

“Aktiviti pembangunan sosial untuk anak muda Felda di bawah PH juga sangat mengecewakan, kalau zaman BN, dalam tempoh tiga bulan kita nampak paling kurang ada 10 program dan aktiviti.

“Ada aktiviti mahasiswa masuk Felda, program anak angkat, dan bermacam-macam lagi, setiap hujung minggu, kawasan lapang di sini penuh dengan bas.

“Selepas PH menang, tiga bulan sekali nak ada satu program pun susah, jangankan nak nampak mahasiswa masuk Felda,” katanya, yang mengusahakan perniagaan gerai makanan di Felda Sungai Tengi.

Antara isu yang membelenggu warga peneroka adalah bebanan hutang yang ditanggung sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Menurut rekod Felda, baki hutang peneroka mencecah RM7.7 bilion pada 2018 yang merangkumi antara lain, kos penanaman semula, pinjaman sara hidup dan bayaran pendahuluan hasil.

Bagi menghadapi masalah itu, pentadbiran PH membentangkan Kertas Putih bagi menangani isu yang membelenggu Felda.

Kertas Putih itu antara lain mendapati kebanyakan hutang yang ditanggung berpunca dari salah urus pentadbiran Najib.

Hutang ditanggung Felda waktu itu meningkat daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 sewaktu pentadbiran Najib.

Najib juga didapati menyalurkan RM2.7 bilion dari dana untuk menaik taraf ladang kepada usaha menarik sokongan kepada BN dalam pilihan raya.

Seorang lagi peneroka, Mutiah Samsuddin dari Felda Tersang in Pahang, berharap Perikatan akan meneruskan usaha membasmi rasuah dan kesalahan tataurus dalam lembaga tersebut.

“Saya harap kes mahkamah terhadap pengurusan Felda akan diteruskan,” kata Mutiah.

Sulong Jamil dari Felda Behrang di Perak pula berharap agensi tersebut akan dipindahkan semula bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengembalikan kepentingannya.

Bawah PH, Felda diletakkan bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, aliran tunai Felda perlu diperbaiki untuk sebelum masalah dihadapi Felda seperti hutang diselesaikan.

“Kertas Putih permulaan baik tetapi saranannya perlu diperbaiki,” kata peneroka berusia 58 tahun dari Perak itu.

Beliau memberi contoh, geran kepada peneroka untuk tanaman alternatif sepatutnya dikendali oleh badan seperti Koperasi Peneroka Felda, yang Sulong.

Felda kini mempunyai kira-kira 112,635 peserta di 317 tanah rancangan dengan keluasan sekitar 490,000 hektar. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen