Solat jemaah besar-besaran di Bangladesh cetus bantahan


Ribuan umat Islam menghadiri solat berjemaah dan berdoa meminta Bangladesh diselamatkan daripada ancaman Covid-19. – Gambar EPA, 18 Mac, 2020.

PERHIMPUNAN ribuan orang Islam di Bangladesh pada Rabu untuk bersembahyang dan berdoa mencetuskan bantahan ketika negara itu melaporkan kematian pertama akibat pandemik global.

Ketua polis tempatan Tota Miah mengatakan sekitar 10,000 orang Islam berkumpul di kawasan terbuka di kota Raipur di selatan Bangladesh untuk berdoa dengan “ayat penawar” daripada al-Quran agar koronavirus dihapuskan di negara itu.

“Mereka mengadakan doa Khatme Shifa selepas subuh untuk membebaskan negara daripada koronavirus,” kata Miah kepada AFP.

Penganjur mendakwa bilangan yang hadir seramai 25,000 orang.

Beliau berkata penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengadakan acara tersebut.

Banyak gambar perhimpunan dikongsi di media sosial, dengan pengguna internet mengecam perhimpunan besar-besaran itu.

Pihak berkuasa menutup sekolah dan meminta penduduk tempatan menghindari perhimpunan berskala besar dalam usaha menghentikan penyebaran penyakit.

“Bagaimana mereka melakukannya tanpa memaklumkan pihak polis? Mereka akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kejadian kepada rakyat di wilayah ini,” tulis Abdur Rahman di Facebook.

Walaupun rayuan daripada pihak berkuasa agar menjauhkan diri dari kawasan awam yang dipenuhi orang ramai, masih ramai mengambil peluang berkunjung ke lokasi pelancongan.

Polis berkata terpaksa menutup dua pantai, termasuk satu di Cox’s Bazar, daerah peranginan utama negara itu, dan merupakan kediaman kepada hampir 1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar.

Seorang pemimpin kanan dari Liga Awami yang memerintah, Obaidul Quader, berkata langkah pengurungan mungkin diperlukan untuk membendung virus itu.

“Sekiranya perlu, Bangladesh akan ditutup, ia akan dikuatkuasakan jika perlu. Rakyat mesti diselamatkan terlebih dahulu. Kami akan melakukan segala-galanya bagi memastikannya,” katanya kepada pemberita.

Bilangan kes positif di negara berjumlah 168 juta penduduk ini adalah 14, walaupun beberapa pakar perubatan bimbang tidak cukup ujian dijalankan. – AFP, 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen