Qantas gantung semua penerbangan antarabangsa


Qantas akan menghentikan semua penerbangan antarabangsanya pada akhir Mac bagi tempoh sekurang-kurangnya dua bulan. – Gambar AFP, 19 Mac, 2020.

SYARIKAT penerbangan terbesar Australia, Qantas hari ini berkata akan menghentikan semua penerbangan antarabangsa bulan ini, selepas satu lagi syarikat penerbangan utama negara Virgin menghentikan operasi luar negara kerana pandemik virus.

Qantas berkata semua penerbangan antarabangsanya akan digantung pada akhir Mac bagi tempoh sekurang-kurangnya dua bulan selepas kerajaan mengarahkan rakyatnya semalam membatalkan semua perjalanan ke luar negara dalam usaha menghentikan penyebaran koronavirus.

“Usaha membendung penyebaran koronavirus membawa kepada kejatuhan permintaan perjalanan yang besar, yang belum pernah kita lihat sebelumnya,” kata Ketua Eksekutif Qantas, Alan Joyce, sambil menambah syarikat itu akan menggantung perkhidmatan 20,000 daripada 30,000 pekerjanya sepanjang tempoh itu.

Langkah itu juga menjejaskan penerbangan bajet Qantas, Jetstar.

Qantas mengumumkan awal minggu ini pengurangan 90% penerbangan di luar negara manakala Virgin Australia menggantung semua penerbangan antarabangsa.

Qantas mengekalkan 60% penerbangan domestiknya dan Virgin Australia sebanyak 50%.

Australia melaporkan lebih 700 kes koronavirus dengan peningkatan jangkitan yang banyak setiap hari. Terdapat enam kematian.

Pegawai berkata majoriti kes baru melibatkan mereka yang tiba dari luar negara atau mempunyai kontak rapat.

Semalam, Perdana Menteri Scott Morrison mengumumkan keputusan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan memberi nasihat kepada semua warga Australia agar tidak melakukan perjalanan ke luar negara.

Beliau juga mengarahkan pemberhentian semua aktiviti pelayaran ke dalam dan luar negara, mengharamkan perhimpunan luar melibatkan lebih 500 orang dan tempat tertutup lebih daripada 100 orang. – AFP, 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen