Petronas pindahkan pekerja di Iraq


Petronas menggantung sementara operasi di Kawasan Kontrak Garraf, Iraq susulan wabak Covid-19 yang melanda negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2020.

SYARIKAT minyak dan gas negara, Petronas selamat memindahkan 80 pekerja Malaysia dari Petronas Carigali Iraq Holding B.V. (PCIHBV), yang terletak di Kawasan Kontrak Garraf, Wilayah Thi Qar Iraq.

Menurut Petronas, langkah itu adalah tindakan pencegahan bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja.

“Ia sesuatu yang tidak dijangka dan tidak diramalkan, malah bukan di bawah kawalan PCIHBV. PCIHBV telah mengeluarkan notis yang perlu mengikut peruntukan kontrak perkhidmatan pembangunan dan pengeluaran dan terlibat dengan pihak berkuasa negara itu susulan penggantungan operasi dan pemindahan pekerja kami,” katanya dalam kenyataaan semalam.

Operasi di Kawasan Kontrak Garraf ketika ini digantung sementara sehingga dimaklumkan kelak, kata Petronas.

“Kami turut memantau secara rapat berhubung situasi ini,” katanya.

Menurut laporan berita, Iraq mencatat 164 kes Covid-19 dengan 12 kematian. – Bernama, 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen