POLIS Selangor melancarkan Ops Covid-19, malam ini, bagi memastikan kepatuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad berkata, pihaknya mensasarkan lokasi yang menjadi tumpuan ramai.
Katanya, operasi itu bertujuan menyedarkan segelintir masyarakat yang masih gagal memahami dan mematuhi perintah itu.
“Kita hendak memastikan semua masyarakat akur kepada perintah itu demi kebaikan semua bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19. Seperti yang digariskan kerajaan, mana-mana yang tidak berhak untuk berada di luar, kita akan pastikan mereka ini pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada media sebelum melancarkan operasi pada jam 8 malam tadi.
Fadzil berkata, operasi yang membabitkan 100 pegawai dan anggota itu dijalankan di semua daerah di negeri ini seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara dan Klang.
Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata tiga hingga empat sekatan jalan dijalankan di daerah itu untuk tempoh 24 jam.
“Malam ini kita akan menasihati masyarakat dan pastikan mereka akur.
“Apabila ditahan, mereka memberikan pelbagai alasan untuk menyokong pergerakan masing-masing,” katanya.
Perintah itu diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu, yang berkuatkuasa hari ini sehingga 31 Mac untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Perintah itu antara lain melarang pergerakan dan perhimpunan awam di seluruh negara termasuklah aktiviti keagamaan, sukan, sosial serta kebudayaan.
Muhyiddin dalam perutusan khas disiarkan ke seluruh negara malam ini turut meminta rakyat supaya mematuhi perintah yang dikeluarkan bagi mengelak tempoh kawalan pergerakan dilanjutkan. – 18 Mac, 2020.
Komen