Kawalan pergerakan dilanjut jika tak berjaya waktu ini, kata PM


Oleh itu rakyat perlu kekal berada di rumah untuk mengasingkan diri bagi memutuskan rantaian jangkitan, kata Muhyiddin Yassin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan mungkin dilanjutkan sekiranya kawalan pada masa ini tidak berjaya, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian ketika mengingatkan rakyat supaya kekal berada di rumah untuk mengekang jangkitan Covid-19 sepanjang tempoh perintah kawalan dua minggu yang bermula hari ini.

“Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Mungkin kena lanjutkan mungkin dua minggu lagi atau lebih panjang

“Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus Covid-19 dengan berada di rumah,” kata Muhyiddin.

Dalam ucapannya, beliau berkali-kali merayu agar rakyat membatalkan rancangan pulang ke kampung halaman dan meninggalkan ibu kota.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Kekal di tempat anda. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” katanya.

Tempoh dua minggu yang ditetapkan itu katanya bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan agar jumlah mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan.  

“Ini kerana Covid-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu.  Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu.

“Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari Covid-19,” katanya.

Walaupun langkah itu katanya kelihatan mudah, tindakan duduk di kediaman masing-masing adalah langkah terbaik mengekang Covid-19 daripada terus menular.

“Nampak mudah dan remeh, tetapi sebenarnya inilah perkara penting yang saudara-saudari mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.

“Sebagai perdana menteri, saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita.

“Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian. Saya memerlukan sokongan anda semua,” rayunya.

Sebanyak 117 kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini dengan 17 orang dalam unit rawatan rapi, menjadikan jumlah keseluruhan 790 kes positif Covid-19 di Malaysia.
 
“Ini bukanlah perkembangan yang menggembirakan kita. Langkah-langkah tegas perlu terus diambil untuk membendung wabak ini daripada terus merebak.  
 
“Kerana itulah kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang mula berkuatkuasa pada hari ini,” kata Muhyiddin lagi.

Katanya, sebanyak 80 daripada kes baharu itu berpunca dari kluster jemaah tabligh.

Jumlah keseluruhan kes melibatkan jemaah tabligh itu pula 513 kes, katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia merekodkan kematian pertama semalam akibat Covid-19, sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa untuk mengekang sebaran virus itu.

Mangsa pertama seorang lelaki 60 tahun yang meninggal dunia di Hospital Besar Sarawak.

Pesakit itu dikesan dijangkiti dari satu kluster jangkitan di sebuah gereja.

Mangsa kedua seorang lelaki yang meninggal dunia di unit jagaan rapi Hospital Sultan Aminah di Johor Bahru.

Jangkitan lelaki itu dikesan berkait dengan kluster jemaah tabligh Sri Petaling.

Seramai 16,000 orang dilapor menghadiri perhimpunan ijtimak pada 27 Februari, dengan 14,500 daripadanya warga tempatan. – 18 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen