Kuasa Mugabe semakin lemah, tentera mula bertindak


Tentera menyekat laluan masuk ke Parlimen Zimbabwe dan tembakan kedengaran dilepaskan di kediaman rasmi Presiden Robert Mugabe. Tentera mengatakan ini bukan rampasan kuasa dan mereka hanya mahu memburu penjenayah di sekeliling presiden, walaupun ramai pemerhati menyifatkan situasi terbaru ini adalah petanda kejatuhan Mugabe yang sudah lama memerintah. – Gambar AFP, 15 November, 2017.

TENTERA Zimbabwe nampaknya sudah mengawal negara itu pada Rabu walaupun jeneral menafikan mereka merampas kuasa walaupun menggunakan saluran telivisyen negara itu untuk menyiarkan ikrar sedang memburu “penjenayah” yang rapat dengan Presiden Robert Mugabe.

Mugabe yang memerintah berdekad lamanya tiba-tiba menyaksikan kuasanya dilemahkan apabila kenderaan tentera menyekat laluan masuk ke Parlimen di Harare dan pegawai kanan tentera mengeluarkan kenyataan lewat malam ke seluruh negara menggunakan telivisyen.

“Kami mahu memberikan jaminan kepada negara yang Tuan Presiden…dan keluarganya selamat dan keselamatan mereka dijamin,” kata Mejar Jeneral Sibusiso Moyo yang membaca kenyataan itu.

“Kami hanya mensasarkan penjenayah di sekelilingnya yang melakukan jenayah…sebaik sahaja kami menyempurnakan misi kami jangka keadaan akan kembali seperti biasa.”

Moyo menambah yang “tiada rampasan kuasa kerajaan oleh tentera”.

Tetapi tindakan jeneral itu mencetuskan cabaran besar kepada Mugabe, 93, yang memerintah Zimbabwe sejak kemerdekaan negara itu dari Britain pada 1980.

Ketegangan antara pemimpin itu dan tentera yang selama ini membantunya mengekalkan pemerintahan autokratik menjadi perbincangan awam sejak kebelakangan ini.

Parti pemerintah, ZANU-PF pada Selasa menuduh Ketua Tentera Jeneral Constantino Chiwenga melakukan “tindakan mengkhianat” selepas mengkritik Mugabe kerana memecat Naib Presiden Emmerson Mnangagwa.

Penyingkiran Mnangagwa menyebabkan isteri Mugabe, Grace, 52, dalam kedudukan paling hampir untuk mewarisi kuasa suaminya- tindakan yang ditentang hebat pegawai kanan tentera.

Situasi politik itu berubah hanya dalam satu malam dan dilaporkan tembakan kedengaran dilepaskan berhampiran kediaman peribadi Mugabe.

Kedutaan Amerika Syarikat memberikan amaran kepada rakyatnya yang berada di negara itu untuk “mencari perlindungan” disebabkan “ketidaktentuan politik yang berlaku”.

Kenderaan berperisai di ibu kota itu mencetuskan huru hara dalam kalangan penduduk ketika Chiwenga memberikan amaran mungkin berlakunya campur tangan tentera.  Jurucakap tentera tidak dapat dihubungi untuk memberikan penjelasan.

“Kerajaan yang berdiam diri mengenai tindakan tentera nampaknya mengesahkan yang Presiden Mugabe sudah hilang kawalan,” kata Robert Besseling, seorang perunding risiko di EXX-Afrika berpangkalan di London.

“Apa sahaja rampasan kuasa nampaknya akan melibatkan pelaksanaan perintah berkurung.

“Petanda utama keganasan yang berleluasa adalah reaksi Pasukan Keselamatan Presiden yang kekal setia kepada Presiden Mugabe.”

Mugabe adalah ketua negara terlama di dunia tetapi kesihatannya yang semakin buruk mencetuskan kemelut tentang penggantinya di negara itu.

Dalam ucapannya tahun ini, Mugabe kelihatan sangat lemah.

Khabar angin bertiup kencang di Harare yang Mugabe mungkin akan menyingkirkan Chiwenga yang dilihat sebagai sekutu Mnangagwa.

Mnangagwa,75, dilihat ramai sebagai pengikut paling setia Mugabe dan sudah berkhidmat kepadanya berdekad lamanya.

Awal tahun ini, negara itu dikejutkan dengan konflik antara Grace dan Mnangagwa termasuklah kejadian ais krim beracun yang menjadi punca hubungan buruk kedua tokoh penting negara itu.

Grace Mugabe, 41 tahun lebih muda daripada suaminya dilihat semakin aktif menghadiri majlis dan acara awam, disifatkan pemerhati sebagai proses untuk membantunya mewarisi jawatan pentadbiran negara.

Dia diberikan kekebalan diplomatik di Afrika Selatan pada Ogos selepas didakwa mengasari seorang model di sebuah hotel mewah di Johannesburg, tempat di mana dua anak lelakinya tinggal.

Ketika ekonomi merudum, Zimbabwe mengalami hiper inflasi dan dipaksa menghapuskan mata wangnya sendiri dan menggunakan dolar AS pada 2009.

Negara itu yang mempunyai kadar pengangguran lebih 90% dijangka mengadakan pilihan raya tahun depan dengan Mugabe berikrar akan mempertahankan jawatannya sekali lagi. – AFP, 15 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen