Penghantar makanan sibuk penuhi tempahan


Alfian Z.M. Tahir

Penghantar makanan antara mereka yang masih bekerja di luar sepanjang perintah kawalan pergerakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Mac, 2020.

PENGHANTAR makanan adalah kumpulan pekerja yang paling sibuk hari ini memenuhi tempatan disebabkan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang wabak Covid-19.

“Hari ini agak sibuk untuk kami. Kebanyakan kedai ditutup dan orang tak banyak pilihan boleh dibuat.

“Saya terima sekurang-kurangnya 20 tempahan makanan dalam empat jam. Banyak sebenarnya tu,” kata penghantar makanan Food Panda Noor Azmi Rashid yang ditemui di Shah Alam.

Tambahnya, beliau juga merasa aneh kerana Shah Alam lebih lengang dan sunyi berbanding kebiasaan.

“Sangat senyap sampai rasa macam semua orang tidur lagi. Awak boleh kira kereta di jalan raya dan hampir tiada orang di jalan,” katanya.

Tiga kompleks membeli belah utama di Shah Alam- PKNS, Alam Sentral dan SACC- juga ditutup dan kebanyakan kedai berhampiran turut menghentikan operasi.

Satu-satunya kedai yang dibuka adalah cawangan KFC di PKNS yang hanya menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan dan bawa pulang.

Di SS2, Petaling Jaya pula terdapat baris panjang orang menunggu tempahan mereka di luar cawangan McDonalds kawasan itu.

Seorang penghantar makanan Grab Food berkata beliau juga lebih sibuk berbanding hari lain, tetapi menurutnya, perintah kawalan pergerakan tidak menghalang orang ramai keluar.

“Tempahan penghantaran makanan lebih banyak berbanding biasa tetapi ramai juga orang keluar beli makanan,” kata Zaim Latif.

Kebanyakan kedai makanan menghentikan operasi atau hanya memenuhi tempahan bawa pulang dan penghantaran makanan seperti dibenarkan undang-undang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Mac, 2020.

Perintah kawalan pergerakan selama dua minggu bermula hari ini sehingga 31 Mac untuk mengekang wabak Covid-19, orang ramai dinasihatkan untuk tidak keluar rumah kecuali untuk membeli makanan dan barangan keperluan serta situasi kecemasan.

Semua perniagaan dan pejabat juga diarah tutup, kecuali beberapa sektor penting yang disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Aliran trafik juga lancar hari ini, dengan Lebuh Raya Persekutuan tidak sesibuk seperti mana hari bekerja lain.

Perjalanan dari Shah Alam ke Petaling Jaya hanya mengambil masa 15 minit berbanding kebiasaan.

Di Petaling Jaya, banyak restoran ditutup dan yang dibuka hanya membenarkan pembelian bawa pulang dan penghantaran makanan.

Kawasan penjaja berdepan Balai Polis Petaling Jaya ditutup manakala kawasan perniagaan sekitar Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang sentiasa sibuk, hari ini lengang.

Seorang penjaja nasi campur di situ berkata beliau akan menutup gerainya selama dua minggu.

“Saya tahu ada restoran yang buka untuk bawa pulang tetapi saya tak buat. Kebanyakan orang datang makan dan mereka tak bawa pulang makanan, lagipun banyak pejabat tutup. Ramai kerja dari rumah,” kata Abdul Ghani Sidek. – 18 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen