Putrajaya usah campur tangan urusan kami, kata syarikat swasta


Ragananthini Vethasalam

Aduan penghantar makanan Foodpanda yang tidak berpuas hati dengan skim bayaran baharu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kemudian menggesa syarikat itu menggunapakai semula skim lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA tidak patut campur tangan dalam urusan syarikat swasta melainkan menjadi pengantara untuk menyelesaikan konflik antara majikan dan pekerja, kata pemain industri.

Itu reaksi mereka terhadap isu skim pembayaran upah baharu syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda yang menyebabkan ratusan penghantarnya mengadakan mogok sebagai bantahan.

Aduan penghantar makanan Foodpanda yang tidak berpuas hati dengan skim itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kemudian menggesa syarikat itu menggunapakai semula skim upah lama.

Gesaan sama turut disuarakan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata selagi langkah untuk menambah baik sistem gaji atau menggunapakai sistem berkaitan gaji itu tidak menyalahi undang-undang, kerajaan tidak boleh masuk campur dalam urusan syarikat swasta.

Hanya apabila syarikat melanggar undang-undang, barulah kerajaan campur tangan, katanya.

Menurut Kang, Putrajaya sebaliknya boleh menjadi pengantara antara pengurusan Foodpanda dan penghantar makanannya untuk menyelesaikan masalah.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika bertemu  penghantar makanan Foodpanda yang tidak berpuas hati dengan skim bayaran baharu syariat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2019.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan pula berkata sugguhpun kerajaan boleh mewujudkan sesuatu dasar tetapi ia tidak boleh menentukan bagaimana syarikat swasta perlu diuruskan.

“Prinsip yang perlu dipegang ialah kerajaan tidak harus menentukan perjalanan sesebuah syarikat.

“Kerajaan boleh wujudkan dasar tetapi tidak boleh menetapkan bagaimana urusan syarikat berjalan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Isu seperti bagaimana pekerja harus dibayar gaji seelok-eloknya diserah kepada kuasa pasaran.”

Tambah beliau, penghantar makanan Foodpanda mempunyai pilihan sama mahu terus bekerja di syarikat itu atau tidak.

Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme mengenai bagaimana konflik ini dapat diselesaikan.

Selepas Foodpanda menegaskan tidak akan kembali menggunakan skim lama, Syed Saddiq menerusi Twitter berkata sikap angkuh tidak menyelesaikan masalah dan syarikat korporat harus adil kepada pekerja dan pengguna.

Walaupun tidak menyebut nama syarikat yang dimaksudkan, menteri itu mengadakan pertemuan dengan penghantar makanan Foodpanda yang menganggap skim baharu itu tidak adil dan menyebabkan separuh daripada pendapatan mereka berkurangan. – 20 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen