Syed Saddiq anggap Foodpanda angkuh enggan patah balik sistem upah lama


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semasa mengadakan pertemuan dengan lebih 100 penunggang Foodpanda di Petaling Jaya minggu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan syarikat penghantaran makanan Foodpanda sebagai angkuh apabila enggan akur nasihat kerajaan supaya kembali kepada sistem upah pekerja yang asal selepas mereka melancarkan mogok minggu lalu.

Dalam komennya di Twitter mengulas keputusan Foodpanda, Syed Saddiq berkata sikap angkuh tidak menyelesaikan masalah dan syarikat korporat harus adil kepada pekerja dan pengguna.

“Sebagai #Yangberkhidmat,saya dipilih oleh rakyat & boleh dihukum oleh rakyat.

“Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja/pengguna, & boleh dijatuhkan oleh pekerja/pengguna.

“Keangkuhan bukan jalan penyelesaian,” katanya dalam satu tulisan di Twitter malam ini.

Syed Saddiq juga membayangkan syarikat angkuh seperti ini wajar dipulau.

“Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja & pengguna,” tambahnya.

Foodpanda hari ini membuat pengumuman mengekalkan sistem pembayaran baharu yang dipertikaikan oleh pekerjanya minggu lalu, yang mengheret kerajaan campur tangan dan mencadangkannya supaya kembali kepada sistem lama.

Pengarah urusannya Sayantan Das berkata Foodpanda berkata keputusan syarikat minggu lalu adalah yang terbaik untuk penghantar makanannya.

“Skim ini baru dilancarkan dan berdasarkan data yang kita terima, kita melihat ia satu kadar yang baik untuk rider (penunggang) mendapat lebih pendapatan daripada sebelum ini.

“Kita menyambut baik naratif, pandangan dan usaha yang mereka lakukan untuk memahami kehendak pasaran.

“Tetapi pelaksanaannya dibuat oleh syarikat tanpa campur tangan dari kerajaan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, awal hari ini.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti pelaksanaan skim baharu ini sekurang-kurangnya sehingga akhir bulan ini sebelum menyemak semula, jika perlu.

Penghantar makanan Foodpanda awal minggu lalu melancarkan mogok membantah skim pembayaran baharu yang mereka dakwa menindas dan tidak adil.

Pada malam menjelang mesyuarat kabinet pada Rabu lepas, lebih 100 penghantar makanan mengadu nasib kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung skim baharu itu.

Dalam mesyuaratnya, Jemaah Menteri menyarankan Foodpanda supaya kembali kepada sistem pembayaran yang lama.

Jemaah Menteri juga mengarahkan sebuah jawatankuasa dianggotai tiga kementerian untuk mengkaji kedudukan dan masa depan ekonomi gig di Malaysia.

Tiga kementerian itu ialah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menerusi skim lama, penghantar menerima bayaran asas RM4 sejam selain insentif pesanan antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan, bergantung prestasi individu.

Bagaimanapun, menerusi skim pembayaran baharu, Foodpanda menghapuskan bayaran asas jam bekerja sebaliknya meningkatkan insentif pesanan antara RM4.50 hingga RM7 untuk setiap pesanan.  – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen