Lebih 100 penunggang Foodpanda jumpa Syed Saddiq


SM Amin

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan untuk wujudkan undang-undang bagi menjaga kebajikan mereka.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Oktober, 2019.

LEBIH 100 penghantar makanan Foodpanda mengadu nasib kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman malam ini berhubung skim baharu pembayaran oleh syarikat perkhidmatan itu yang mereka dakwa menindas dan tidak adil.

Mereka turut disertai beberapa orang pemandu Grab yang juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa isu melibatkan perkhidmatan kongsi kereta itu.

Kebanyakan mereka berkhidmat di Lembah Klang tetapi ada juga yang datang dari Pulau Pinang dan Johor untuk berjumpa dengan Syed Saddiq.

Penghantar makanan Foodpanda, Mohamad Faiz Mohd Padzil, 20 meminta Syed Saddiq mendesak supaya syarikatnya mengembalikan skim pembayaran seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini.

“Bayaran setiap jam telah ditarik balik. Jadi kita mahu YB bawa perkara ini dan desak supaya syarikat guna skim pembayaran yang lama.

“Dengan skim baharu ini pendapatan kami hilang hampir separuh daripada apa yang kami dapat sebelum ini,” katanya, dalam pertemuan di kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya, malam tadi.

Mereka datang ke rumah Syed Saddiq selepas menteri itu menawarkan ruang untuk mendengar luahan hati mereka susulan mogok yang mereka lancarkan minggu ini.

Ribuan penghantar makanan Foodpanda melancarkan mogok di beberapa negeri sejak Ahad dan Isnin sebagai membantah skim baru bayaran menghapuskan masa menunggu, sebaliknya terhad bagi jumlah penghantaran yang diselesaikan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 100 penunggang Foodpanda di Petaling Jaya malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Oktober, 2019.

Menerusi skim lama, penghantar menerima bayaran asas RM4 sejam selain insentif pesanan antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan, bergantung prestasi individu.

Bagaimanapun, menerusi skim pembayaran baharu, foodpanda menghapuskan bayaran asas jam bekerja sebaliknya meningkatkan insentif pesanan antara RM4.50 hingga RM7 untuk setiap pesanan.

Selain soal pembayaran, penghantar makanan Foodpanda, Wan Ahmad turut membangkit soal kebajikan mereka yang tidak dijaga oleh syarikat.

“Kita ada insurans tetapi bila berlaku kemalangan, kita pun tidak tahu pada siapa kita hendak menuntut.

“Orang yang menjaga kawasan yang bertanggungjawab terhadap rider-rider ini tidak muncul untuk bantu,” katanya.

Beliau juga memberitahu Syed Saddiq kemalangan melibatkan penghantar makanan sudah jadi cerita biasa.

Beberapa penghantar makanan juga mengadu mereka diberi amaran akan dikenakan tindakan sekiranya tidak menerima skim pembayaran baharu yang berkuat kuasa pada Isnin.

Selain penghantar makanan Foodpanda, beberapa penghantar makanan Grabfood juga hadir mengadu masalah yang sama kepada Syed Saddiq.

“Masalah yang dihadapi oleh Foodpanda ini, kita (di Grabfood) sudah lama kena,” kata Mohd Asror Mohd Azmal.

“Banyak kali kita buat bantahan tapi tiada apa-apa perubahan. Jadi kali ini saya harap YB betul-betul boleh bantu kami, bawa ke kabinet supaya kami tidak terus ditindas,” katanya.

Syed Saddiq dalam rumusannya menutup majlis menggesa Foodpanda kembali kepada sistem pembayaran sebelum ini sebagai penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi kemelut yang timbul minggu ini.

Sebahagian daripada penunggang Foodpanda yang hadir pada pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Petaling Jaya malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Oktober, 2019.

Katanya, berdasarkan aduan-aduan yang dibuat, jelas skim pembayaran baharu itu telah menyebabkan pendapatan penghantar makanan terjejas hampir 50%.

“Sekarang ini tanpa makluman awal, terus skim gaji mereka disemak dengan begitu cepat dan akhirnya kita dengar sendiri bahawa skim ini boleh menurunkan dalam lingkungan 50 peratus daripada gaji bulanan mereka.

“Cuba bayangkan gaji anda dalam tempoh tiga hari diturunkan 50 peratus. Apa perasaan kita?

Mesti marah dan mogok tapi ada pula keluar arahan untuk tindakan diambil ke atas mereka dan hilang pekerjaan.

“Adakah ini keadilan yang kita mahukan? Sebab itu dalam hal ini untuk kita selesaikan perlu ada jalan penyelesaian bersama dan esok saya akan bersama dengan jemaah menteri, dan saya akan maklumkan terus kepada Perdana Menteri berkenaan masalah ini,” katanya.

Syed Saddiq juga berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan undang-undang bagi menjaga kebajikan mereka yang terlibat dalam kegiatan gig economy, atau kerja sambilan.

“Sambil syarikat boleh mendapatkan keuntungan ratusan juta, kita tidak boleh lupakan pekerja yang akhirnya syarikat dapat sumber lumayan tersebut.

“Kita nak pastikan ada piawaian yang mencukupi dan akan bekerjasama dengan jemaah menteri dan perkara ini akan dikepalai oleh menteri Sumber Manusia.

“Kita perlu ada perundangan yang menyeluruh untuk menjaga ekonomi gig ini,” katanya. – 2 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen