LARANGAN ke atas orang ramai membuat perjalanan rentas negeri ditarik balik sehingga keputusan baharu diumumkan kelak, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, orang ramai bebas membuat perjalanan pada malam ini tanpa sekatan.
Kenyataan itu dibuat selepas arahannya terdahulu menyebabkan ramai individu berkumpul di balai polis di seluruh negara bagi memohon kebenaran berkenaan.
“Kami menarik balik larangan itu dan orang ramai boleh melakukan perjalanan dengan selamat, secara berhemah malam ini.
“Tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas mereka sehingga satu keputusan baru bakal diumumkan selepas mesyuarat berhubung perkara ini, esok,” katanya.
Gambar menunjukkan barisan panjang di balai polis tersebar luas di media sosial pada malam ini ketika orang ramai berusaha membuat perjalanan ke serata negeri sebelum perintah kawalan berkuatkuasa.
Perkembangaan itu antara lain meraih kritikan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berkata Putrajaya tidak merancang dengan baik sebelum melaksana perintah kawalan pergerakan.
“Ternyata kerajaan kurang teliti langkah yang diambil serta tiada persiapan yang sewajarnya sehingga berlaku kekecohan di kalangan rakyat di beberapa lokasi antaranya di Balai Polis Bandar Baru Bangi,” katanya.
Beliau turut berkongsi gambar balai polis Bandar Baru Bangi dalam tulisannya itu di Twitter.
Gambar lain yang dikongsi pengguna media sosial antara lain menunjukkan barisan panjang di Tanjung Malim, Seksyen 6 Shah Alam, Sungai Besi, Serdang, Seremban 2 dan Bukit Jelutong.
Dalam sidang media terdahulu petang ini, Abdul Hamid berkata orang ramai perlu memaklumkan kepada balai polis terdekat dan mendapatkan surat kebenaran untuk perjalanan rentas negeri.
Menurutnya, tindakan itu dikuatkuasakan serta merta bermula tengah malam ini selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, proses yang sama perlu dilalui untuk ke semua negeri dan tambahannya apabila ke Sarawak, mereka akan dikuarantin 14 hari sebaik tiba di destinasi dan ia terpulang kepada kerajaan negeri.
Katanya, mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – 17 Mac, 2020.
Komen