Perjalanan antara negeri perlu kebenaran, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Perjalanan antara dua negeri dalam Malaysia perlu mendapat kebenaran polis, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

ORANG ramai perlu memaklumkan kepada balai polis terdekat dan mendapatkan surat kebenaran sekiranya ada keperluan dan alasan munasabah untuk bergerak dari satu negeri ke negeri lain, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, tindakan itu dikuatkuasakan serta merta bermula tengah malam ini dan sebarang pergerakan tanpa alasan munasabah dilarang.

“Bagi pihak polis, peranan kami adalah untuk kawal pergerakan orang ramai dari satu negeri ke satu negeri. Eksesais ini amat perlu kerana kita yakin boleh sekat penularan wabak,” katanya.

Jelasnya untuk mendapat surat kebenaran itu, pemohon perlu memaklumkan keperluan pergerakan dan mengisi borang.

“Borang kebenaran itu boleh ditunjukkan sekiranya ada sekatan jalan raya atau bukti perjalanan itu. Kita ada 159 ibu pejabat polis daerah dan ratusan balai polis di seluruh negara untuk memudahkan proses ini,” katanya.

Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, beliau berkata, proses sama perlu dilalui untuk ke semua negeri.

Untuk perjalanan ke Sarawak, individu yang membuat perjalanan akan dikuarantin 14 hari sebaik tiba di destinasi dan ia terpulang kepada kerajaan negeri.

Katanya, mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Bagikesalahan pertama, seseorang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika ditanya sama ada akan ada sekatan jalan raya di setiap sempadan negeri, Abdul Hamid menyatakan belum ada keperluan itu lagi.

“Dalam fasa permulaan pelaksanaan perintah ini, kita akan memantau dahulu cara pematuhan orang ramai kepada undang-undang dan jika kadar tidak patuh kepada peraturan sedia ada menjadi tinggi, tindakan lebih tegas akan diambil.

“Buat masa ini akan ada sekatan jalan secara rawak dan orang ramai masih bebas bergerak untuk membeli barang keperluan harian,” katanya. – 17 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen