Perniagaan dijangka lebih terjejas akibat perintah kawalan pergerakan


Ragananthini Vethasalam

Mulai esok semua premis perniagaan akan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka menjual barangan keperluan harian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

PERUSAHAAN Kecil Sederhana (PKS) yang sudahpun dibebani kenaikan kos akibat wabak Covid-19 dijangka akan lebih terjejas selepas perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, kata Michael Kang.

Presiden Persatuan PKS Malaysia itu berkata sektor itu berdepan masalah kenaikan kos sejak penularan wabak Covid-19.

“Kos meningkat sejak Februari lagi, selepas Covid-19 merebak. Naik sekita 10 hingga 20%,” katanya.

Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersekutu dan Industri Malaysia (ACCCIM) Ter Leong Yap pula berkata walaupun perintah kawalan pergerakan akan menjejaskan perniagaan, tetapi langkah itu perlu demi kesihatan orang ramai.

Perniagaan akan terjejas teruk dan keadaan ini perlu ditangani, kata Ter.

“Sakit sekejap untuk bendung Covid-19 daripada wabak dibiarkan terus melarat dan meragut lebih banyak nyawa,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, apa yang lebih membimbangkan adakah stok peralatan perlindungan diri (PPE) mencukupi, terutamanya pengeluaran dan bekalan topeng muka serta cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) bagi petugas perubatan barisan hadapan, kata Ter.

Harga topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang berpatutan di pasaran juga perlu diambil kira, tambah beliau.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa mulai esok hingga 31 Mac untuk membendung penularan koronavirus.

Larangan dikenakan bagi semua pergerakan beramai-ramai dan perhimpunan, termasuk keagamaan, sukan, sosial dan aktiviti kebudayaan.

Semua rumah ibadat dan premis perniagaan akan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka menjual barangan keperluan harian.

Dalam ucapan disiarkan langsung malam tadi, Muhyiddin berkata perintah tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. – 17 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen