Kawalan pergerakan mula kuatkuasa Rabu, kata PM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum larangan menyeluruh dikuatkuasa ke atas pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

KERAJAAN menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac bagi mengekang wabak Covid-19, kata perdana menteri.

Muhyiddin Yassin berkata dengan arahan itu, larangan menyeluruh dikuatkuasa ke atas pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Berikut sedutan pengumuman beliau:

Pertama, untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Katanya, perintah tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Dalam ucapan disiarkan langsung malam ini, Muhyiddin berkata perintah itu dibuat untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.

Katanya, jangkitan wabak Covid-19 meningkat mendadak dalam masa yang singkat di beberapa buah negara dan Malaysia tidak boleh menunggu lama hingga keadaan menjadi lebih meruncing.

“Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.

“Inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa,” katanya yang meminta rakyat bersabar dan tidak panik dengan perintah itu.

Katanya, langkah itu dibuat dengan mencontohi negara seperti China yang dapat menurunkan kes jangkitan Covid-19 dengan sekatan pergerakan.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin juga memberi jaminan bekalan bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka mencukupi.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini berkuatkuasa,” katanya.

Setakat hari ini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara dengan 162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu seramai 6,443 orang maut.
 
Di Malaysia pula, berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang.  

Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih. – 16 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen