Muhyiddin kembalikan kerajaan kleptokrasi, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang pengumuman barisan kabinet baharu, yang dijangka diumum seawal Isnin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

KERAJAAN baharu yang bakal ditubuhkan perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin dijangka menjadi kerajaan kleptokrasi, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu menjelaskan, ini disebabkan kerajaan baharu tersebut melibatkan pemimpin parti yang dikaitkan dengan rasuah dan tidak ditubuhkan secara demokrasi.

“Penubuhan kerajaan secara pintu belakang itu tidak baik. Kita amalkan sistem demokrasi, bukan sistem cucuk dari belakang.

“Muhyiddin jadi perdana penteri sedangkan dia tak dapat majoriti. Saya dapat majoriti sebab kita ada 114 sokongan (ahli Parlimen).

“Tidak tahu mcm mana dia tipu tiba-tiba dapat majoriti dan dipilih menjadi perdana menteri, jadi soal demokrasi dalam negara kita balik kepada (kerajaan) kleptokrasi,” kata Mahathir di Langkawi .

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya pendapat beliau tentang pengumuman barisan kabinet baharu, yang dijangka diumum seawal Isnin.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin pula dilaporkan menjangka Kabinet Perikatan Nasional diumumkan pada hari Selasa.

Zuraida turut menzahirkan harapan agar 30% barisan Kabinet yang dipilih Mujyiddin terdiri daripada wanita agar dasar yang bakal digubal itu mesra wanita.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 tuduhan di mahkamah pula menawarkan agar tidak diberi jawatan dalam Kabinet baharu itu.

Mengulas perkara itu, Dr Mahathir hanya berkata ia satu perkara yang baik.

“Baguslah (kalau Zahid tidak diberi jawatan Kabinet). Saya nak tengok dia berhadapan (tuduhan) di mahkamah,” katanya.

Ketika ditanya siapa calon timbalan perdana menteri yang sesuai, Mahathir secara berseloroh mencalonkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Tidak tahu (siapa yang sesuai), barangkali Haji Hadi,” katanya lagi kepada pemberita selepas Mesyuarat Bersatu Cawangan Kedawang, di Langkawi.

Muhyiddin dalam ucapan pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri menyatakan ikrar membentuk Kabinet yang bersih dari pemimpin rasuah.

The Malaysian Insight difahamkan, ahli Parlimen BN dan PAS masing-masing akan memegang portfolio dalam negeri dan kementerian luar manakala kementerian kewangan dikuasai Bersatu. – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen