Wanita Umno mahu Zahid anggotai Kabinet baharu


Ketua sayap parti itu, Noraini Ahmad berkata, hasrat Zahid yang tidak mahu menganggotai Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah tindakan yang berjiwa besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

WANITA Umno mahu presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dilantik ke dalam Kabinet baharu yang dijangka diumumkan esok.

Ketua sayap parti itu, Noraini Ahmad berkata, hasrat Zahid yang tidak mahu menganggotai Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah tindakan yang berjiwa besar.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa penting bagi Zahid untuk berada di dalam Kabinet demi parti dan membantu perdana menteri dalam mentadbir negara.

“Wanita Umno ingin mengucapkan terima kasih kepada Zahid kerana mengatakan dia tidak mahu berada di dalam kabinet.

“Tetapi sayap saya percaya presiden Umno mesti berada dalam Kabinet untuk melindungi maruah parti dan untuk membantu mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Oleh itu, kami menyokong sepenuhnya Zahid sebagai sebahagian daripada barisan Kabinet baharu,” katanya.

Semalam, Zahid mengisytiharkan bahawa beliau telah memilih untuk kekal sebagai penyokong kerajaan di Parlimen.

“Sebagai pengerusi BN dan presiden Umno, saya menawarkan diri untuk tidak dilantik ke mana-mana jawatan Kabinet,” kata pengerusi Barisan Nasional dan Ahli Parlimen Bagan itu kepada ahli-ahli bahagian dalam satu mesyuarat.

Bagaimanapun, beliau berkata beliau telah membuat beberapa cadangan kepada Muhyiddin mengenai pelantikan Kabinet.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata semua pemimpin Umno yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah, termasuk dirinya, harus diberi peluang untuk membersihkan nama mereka di mahkamah.

“Berikan mereka peluang untuk membersihkan nama mereka di mahkamah, bukan dengan membuat tuduhan, seperti apa yang dilakukan oleh peguam negara terdahulu,” kata Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan rasuah.

Terdapat kebimbangan bahawa Muhyiddin akan menggabungkan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah di dalam Kabinetnya.

Dalam ucapan pertamanya minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin berjanji bahawa kabinet beliau akan bersih dari pemimpin rasuah.

Selain Wanita Umno, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin juga meminta Zahid dinamakan di dalam Kabinet.

Bung berkata Zahid Hamidi belum disabitkan di mahkamah.

“Sekiranya Zahid diberi peluang, dia boleh meletak jawatan dari jawatannya jika didapati bersalah,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Umno adalah sebahagian daripada pakatan Perikatan Nasional yang telah menggulingkan Pakatan Harapan sebagai kerajaan persekutuan yang baru.– 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen