Pensyarah UKM minta maaf kepada Lim Guan Eng, DAP


Dalam tulisan pensyarah terbabit, Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng dikaitkan sebagai pengganas serta agen Yahudi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

SEORANG pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meminta maaf secara terbuka kepada Lim Guan Eng dan DAP kerana mengaitkan mereka sebagai pengganas serta agen Yahudi dalam satu tulisannya pada Oktober tahun lalu.

Pensyarah sains politik Abdul Muein Abadi membuat permohonan maaf itu susulan tulisannya bertajuk “Hubungan sulit DAP, pengganas LTTE dan Zionist Israel” yang dimuat naik ke Facebook dan tersebar di media sosial.

“Pernyataan maaf saya kepada YB Tuan Lim Guan Eng dan parti DAP adalah tanpa sebarang syarat dan dengan penuh kekesalan.

“Saya juga amat kesal dan kecewa atas sebarang kelukaan kepada perasaan YB Tuan Lim Guan Eng dan ahli-ahli parti DAP yang diakibatkan oleh pernyataan-pernyataan tersebut,” katanya, dalam permohonan maaf yang dibuat melalui Facebook.

Tulisan Abdul Muein yang bersifat fitnah itu turut dikutip dan disiarkan semula antaranya di lidah rasmi PAS Harakahdaily.

Dalam permohonan maafnya, Abdul Muein juga setuju menarik balik keseluruhan tulisannya secara rela dan tanpa sebarang syarat.

“Kandungannya saya akui adalah tidak berasas dan tidak benar langsung,” katanya.

Beliau juga membayar RM3,500 sebagai kos guaman kepada Lim.

Pada Julai tahun lalu, Abdul Muein pernah mencetuskan kontroversi kerana mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan menjual aset negara sehingga RM20 bilion dalam masa 400 hari jadi kerajaan.

Tulisannya itu ditegur oleh beberapa pihak kerana mengandungi maklumat palsu, tidak lengkap serta membuat kesimpulan songsang.

Abdul Muein kemudian mendakwa beliau diarahkan oleh pihak UKM untuk tidak lagi mengupas sebarang isu politik yang sensitif. – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen