Dengan kekayaan Ku Nan terdedah, Muhyiddin mesti lantik Kabinet bersih


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih belum melantik Kabinetnya selepas seminggu mengangkat sumpah jawatan. Beliau perlu melantik menteri yang bersih, bagi meredakan krisis politik ini. – Gambar AFP, 7 Mac, 2020.

UJIAN pertama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ialah pemilihan anggota Kabinetnya dan sama ada beliau akan memegang janjinya untuk tidak memilih ahli Parlimen yang berdepan perbicaraan kes rasuah, kata pemerhati.

Dan jika calon Kabinetnya tidak berdepan perbicaraan sekalipun, kes bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor dan kekayaannya yang melebihi RM900 juta akan menyukarkan tanggapan bahawa ada orang yang bersih dalam kalangan wakil rakyat Umno dan PAS.

“Muhyiddin dengan jelas menyatakan dalam ucapan pertamanya bahawa pasukannya akan terdiri daripada mereka yang berintegriti tinggi dan ada kemampuan untuk berkhidmat dengan baik,” kata ahli majlis tertinggi Bersatu.

Rais mengulas tentang sama ada Kabinet pertama Muhyiddin akan termasuk ahli Parlimen Umno seperti Tengku Adnan, wakil rakyat Putrajaya, yang pada ketika ini sedang berdepan perbicaraan kes rasuah.

Presiden Transparency International (Malaysia) Dr Muhammad Mohan berkata tidak mungkin Tengku Anda, yang pernah menjadi menteri Wilayah Persekutuan, akan dipilih .

“Tidak, melihat kepada kesnya di mahkamah yang sedang berlangsung. Dan juga kekayaannya yang tidak dapat dijelaskan dan akan disiasat oleh SPRM kerana aset yang dimilikinya itu agak mengejutkan.

“Jadi bodohlah kalau PM masukkan ahli politik seperti itu dalam Kabinetnya,” kata Muhammad.

Dilaporkan semalam, Tengku Adnan memiliki aset bernilai sehingga RM938 juta pada 2001.

Tengku Adnan, 69, sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong pada 2016.

Bekas setiausaha agung Umno itu antara beberapa pemimpin parti itu yang sedang dibicarakan dalam kes rasuah dan salah guna kuasa, dengan yang paling berprofil tinggi ialah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, kedua-duanya ahli Parlimen.

Najib mempertahankan kekayaan Teng Adnan dengan mengatakan ia sah, hasil daripada saham dipegangnya dalam beberapa syarikat pada 1990-an.

Wajibkan pengisytiharan aset

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata ini sebabnya ahli Parlimen dan anggota Kabinet perlu diwajibkan untuk mengisytiharkan aset mereka.

Katanya, Tengku Adnan antara contoh terbaik tentang mengapa pengisytiharan harta itu amat diperlukan.

Muhyiddin perlu bertegas untuk meneruskan amalan mengisytiharkan harta jika beliau mahukan kerajaan yang bersih, kata Muhammad.

“Beliau perlu buat begitu jika mahukan kerajaan yang bersih, ahli politik bersih dan menghapuskan rasuah. Kumpulan persatuan sivil akan terus menggesa kerajaan memastikan semua ahli politik mengisytiharkan aset mereka.” – 7 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen