Bola sepak dan kesedaran kelas


Hadri Shah

Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul sebagai juara Piala Malaysia 2017 selepas berjaya mengalahkan pasukan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam pada 4 November lalu. – Gambar Facebook, 12 November, 2017.

“DALAM bola sepak kalian belajar bersoladiriti.” — Argentinos Juniors.

Konflik penjualan tiket final Piala Malaysia di kem pasukan Kedah beberapa hari sebelum berlangsungnya pertembungan antara pasukan kegemaran aku; Kedah dengan kelab negeri “borjuis” JDT minggu lepas merakamkan rasa geli hati yang teramat.

Pertamanya kerana, bukankah ini tahun 2017 — tahun ketika teknologi disebut-sebut sebagai “manual penyempurnaan hidup umat manusia” dan Internet sebagai “penyelamat” seluruh penduduk dunia. Dek kerana keberkatan internet, sepaket mee segera bukan sahaja boleh didapati di 7-Eleven berhampiran, malah kamu bisa memudahkan hidupmu mendapatkannya di e-Bay.

Semudah itu kehidupan kini apabila internet dan teknologi dikonstektualisasikan ke dalam ruang lingkup peradaban manusia.

Namun lain pula cerita urusan penjualan tiket final Piala Malaysia. Untuk pengetahuan semua, tidak semua tiket dijual melalui online. Taliannya pula kerap tergendala. Urusan mendapatkan tiket menjadi begitu payah kerana kondisi taliannya yang “berat”.

Akhirnya, dalam beberapa minit, penjualan tiket online ditutup. Katanya habis. Ribuan bakinya dijual di kaunter tiket stadium, mengheret ribuan penyokong pasukan yang terpaksa mengambil cuti tahunan dan menunda urusan harian untuk berbaris dalam barisan paling panjang yang membosankan.

Tetapi percayalah, ada golongan yang hadir pada hari perlawanan akhir minggu lepas yang tidak perlu bersusah payah mendapatkan tiket seperti mana yang berlaku kepada puluhan ribu penyokong dan peminat pasukan yang terdiri dari kelas pekerja. 

Mereka punya parkir khas tersedia di stadium, jalan masuk ke dalam stadium yang selesa dan ruang menonton yang sempurna.

Bukankah ini namanya jurang kelas? Jurang yang tercipta untuk melayani kelas atasan ketimbang dari idea kesamarataan?

Ini adalah contoh mudah perbezaan kelas yang berlaku tetapi berapa ramai peminat bola sepak menyedarinya? 

Sudah menjadi semacam tradisi, bola sepak adalah gelanggang berkumpulnya “working class” (kelas pekerja). Petani, peladang, pekerja kilang, guru, peniaga, pekerja di pelbagai industri hadir berkumpul memberikan sokongan dan dukungan mereka kepada kelab bola sepak yang mewakili mereka. 

Namun, kerana bola sepak hari ini dirasuk arus komersialisasi yang mencetak keuntungan buat “orang-orang atasan” yang memilikhartakan kelab, bola sepak moden semakin kehilangan jati diri. Bagi pemilik kelab, ribuan peminat pasukan nilainya cuma seperti pelanggan.

Tiga tahun lepas, Andy Clark pelajar PhD jurusan Sejarah dari Universiti Stracthclyde, Glasgow pernah menulis sebuah artikel bertajuk “Reclaiming Foorball for the Working Class”. 

Kata Andy: “Bola sepak di Britain secara sejarah menjadi benteng kebudayaan kelas pekerja. Sukan profesional ini berakar di bandar-bandar kilang dan bandar di utara England. Beberapa kelab bola sepak yang paling berjaya di UK adalah hasil daripada komuniti perindustrian seperti Manchester, Liverpool, Sheffield, Glasgow dan Newcastle, dengan beberapa yang terbentuk daripada pasukan kerja. 

“Stadium besar dibina untuk menampung pangkalan peminat yang bertaraf tinggi, dengan Glasgow pernah mempunyai tiga stadium terbesar dalam bola sepak dunia, termasuk Hampden Park yang pada asalnya direka untuk menampung lebih daripada 180,000. 

“Bagi ramai pekerja, menonton kelab bola sepak mereka — atau negara mereka —  adalah asas kepada kehidupan sosial. Tetapi itu telah berubah secara drastik selama tiga puluh tahun yang lalu, kerana harga tiket telah membuat kehadiran tetap sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh strata masyarakat yang tertentu.”

Walaupun suasana di dalam stadium begitu elektrik dan mengujakan — ultras pasukan bergendang tanpa henti, penyokong bersorak dan menyanyi lagu pasukan, puluhan lampu kecil dinyalakan peminat di setiap ruang tempat duduk bagi menghidupkan suasana perlawanan — jauh dalam hati, kita tidak mampu menyembunyikan masalah sebenar bola sepak. 

Daripada urusan pentadbiran bola sepak, pengurusan kelab, kontrak pemain sampailah kepada soal harga tiket dan penjualannya tak pernah kunjung selesai. 

Boleh dikatakan seluruh pendukung kelab bola sepak di mana-mana negeri menyedari masalah dalaman pengurusan. 

Dan mereka simpan sejuta impian supaya pada suatu hari nanti perubahan berkunjung selesai. Pada hari itu, hero yang mereka tunggu-tunggukan turun bersayap putih dari kayangan. Dengan berperibadi mulia, tapi keras dan berani sikapnya berdepan keonaran, membereskan dari sekecil-kecil masalah sehingga sebesar-besar durjana.

Sudah betapa klisenya harapan peminat-peminat ini kerana hero yang mereka tunggu-tunggukan itu selalunya muncul dari golongan bangsawan, elitis dan berketurunan raja. 

Sekian lama, mereka masih menanggapi bahawa tanpa kelas atasan (golongan borjuis, bangsawan, ahli politik, kapitalis dan kerabat diraja), urusan pembaharuan dalam pasukan bola sepak sama sekali mustahil.

Hari ini, kebanyakan peminat menganggap urusan bola sepak mesti bebas dari politik. Tetapi apa yang berlaku, mereka sendiri merelakan pentadbiran kelab dipegang oleh kelas-kelas berlatar belakang parti politik dan istana. 

Jadi, pernyataan di sini sangat kontradik, bukan?

Soalannya sekarang, apakah bola sepak mesti bebas dari politik atau yang dimaksudkan sebenarnya ialah urusan bola sepak mesti bebas dari sebarang tangan-tangan kotor ahli politik, aparat kapitalis, kaum bangsawan dan kerabat diraja dan dikembalikan semula pengelolaannya kepada peminat dan komuniti lokal?

Daru Aji ketika mengulas buku tulisan Edward S. Kennedy bertajuk “Sepak Bola Seribu Tafsir” mengatakan: “(Bola sepak) bukanlah sekadar permainan sebelas lawan sebelas, ia lebih dari itu. Bola sepak membuka peluang hadirnya simbol kuasa, penentangan, identiti juga politik perwakilan.” 

Sambungnya lagi: “Bola sepak telah melampaui batasnya sebagai permainan. Dalam konteks yang lebih luas, bola sepak menyimpan ragam ideologi menarik untuk diperbincangkan.”

Jelasnya, politik diperlukan untuk mengurus bahagian-bahagian penting dalam membangunkan pasukan bola sepak. Namun siapa mengendalikannya menjadi persoalan.

Apakah benar peminat dan komuniti lokal tidak berupaya menggantikan kelas-kelas bangsawan dalam mengelola pentadbiran kelab bola sepak?

Peminat St. Pauli bukan sekadar bergendang dan bersorak di dalam stadium. Mereka juga punya kesedaran politik yang tinggi. – Gambar EPA, 12 November, 2017.

Sebuah kelab bola sepak di Jerman, FC St. Pauli mungkin boleh menjadi rujukan populis (walaupun penyokongnya tidak menggemari mereka menjadi tumpuan) bagaimana sebuah kelab beriktikadkan faham anarkisme mengelola sendiri setiap urusan pentadbiran perjalanan kelab mereka.

Seperti yang ditulis Uli Hesse dalam artikelnya di The Guardian pada 6 September, 2015 bertajuk “St. Pauli: The club that stands for all the right things… except winning”: “Dari jauh, St Pauli sememangnya nampak fantastik untuk sesiapa sahaja yang melihat bola sepak sebagai lebih daripada sekadar permainan. Kelab ini mengatakan perkara yang betul, melakukan perkara yang betul, dan memakai pakaian yang betul.

“Ia jadi penawar yang paling baik untuk mereka yang telah kecewa dengan keserakahan, gembar-gembur, dan kekosongan bola sepak moden, dan alternatif yang sempurna untuk mereka yang merasakan menyokong kelab besar, kaya dan berjaya seperti Bayern Munich terlalu mudah, terlalu licik.”

Peminat St. Pauli bukan sekadar bergendang dan bersorak di dalam stadium. Mereka juga punya kesedaran politik yang tinggi. Mereka  terkedepan dalam isu penolakan rasisme dan merekalah yang menjadi pendesak kerajaan Jerman membuka pintu sempadan kepada pelarian perang. Komuniti mereka jugalah bertanggungjawab menjaga ahli-ahli komuniti yang lemah dan miskin. Dan semestinya, peminat yang terdiri dari kelas pekerja bersama-sama mengendalikan urusan pentadbiran kelab. 

Walaupun begitu, FC St. Pauli bukanlah sebuah keniscayaan mutlak (mereka pernah hampir jatuh bangkrap); yakni semua pendukung pasukan bola sepak perlu “menjadi” seperti mereka, tetapi sekurang-kurangnya St. Pauli membuktikan kepada kita, kelab bola sepak mampu diuruskan oleh komuniti masyarakat berbanding ditunggangi ahli politik, bangsawan dan kerabat istana. 

Ada banyak lagi kelab yang bermunculan atas semangat mengelola secara independen. Bola sepak moden dicabar dengan keberadaan kelab-kelab seperti AFC Wimbledon, FC United, AFC Liverpool, Exeter City, Cambridge City dan lain-lain kelab yang menyaksikan keterlibatan kelas masyarakat membentuk keupayaan membangunkan rasa “self belonging” yang lebih bernilai. 

Walau belum tiba masa lagi pasukan-pasukan ini terlibat dalam “Big Football”, ternyata proses demokrasi langsung hasil penglibatan peminat dan komuniti setempat dalam lingkungan pentadbiran kelab membuktikan idea ini bukan sekadar sebuah mitos lagenda.

Mungkin sudah tiba masanya, peminat bola sepak tempatan menjahit sebuah cita-cita baharu. Bola sepak adalah sebuah panggung menghimpunkan seluruh kelas pekerja. Sukan ini tidak boleh dilihat sebagai pentas laga 90 minit. Bola sepak bukan lagi soal menang atau kalah. 

Bola sepak, seperti kata Bill Shankly (pengurus Liverpool paling hebat dalam sejarah kelabnya) sudah seperti denyut nadi dan sendi kehidupan. Indah dan pada masa yang sama rumit. Cukup kompleks. 

Manakala pengertian bola sepak menurut penulis blog bernama Melancholia  di tulisannya, Kolektif Sepak Bola Anarkis, “bola sepak tanpa diskriminasi dan eksploitasi adalah satu-satunya bola sepak yang paling baik. Dan dengan itu, bola sepak bukan lagi sekadar urusan sosiogeografi, melainkan juga perihal siapa-siapa yang ingin merebut kembali esensi yang hilang dari bola sepak.”

Saat ini, seluruh peminat kelab masing-masing mempunyai dua pilihan: untuk memulakan diskusi, berdebat akan idea-idea baharu tentang nasib kelab atau boleh saja berterusan menutup mata, kembali bergendang di stadium sambil mengejek ahli politik yang hadir di stadium tetapi sengaja merelakan nasib pasukan ditentukan oleh kelas atasan.

Jika acara bola sepak terus dibiar didominasi kelas atasan, tentunya ia dipandang sebagai “candu masyarakat”, mirip kenyataan nasib agama yang ditunggangi institusi agama dan kerajaan yang mengalihkan perhatian masyarakat dari permasalahan dan hal-hal yang menuntun fungsi dan peranan mereka.

“Kita mesti bertanya kepada diri sendiri, bola sepak sejenis apa yang kita mahu St Pauli bermain? Dan jawapannya ialah bola sepak yang mendebarkan semua!” - Oke Göttlich, St. Pauli FC. – 12 November, 2017.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen