Saya tak mengidam jadi PM, kata Muhyiddin


Muhyiddin Yassin berkata beliau hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon perdana menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

MUHYIDDIN Yassin tidak mahu keikhlasannya menerajui kerajaan sebagai perdana menteri dipersoalkan.

Dalam kenyataan pertama kepada umum selepas dilantik menjadi perdana menteri kelapan, presiden Bersatu itu berkata beliau tidak mengidamkan jawatan itu dan bukan juga pengkhianat.

“Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon perdana menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Kenyataan itu menceritakan saat genting ketika rundingan berjalan minggu lalu untuk memilih perdana menteri baharu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh.

Katanya pada peringkat awal, semua ahli Parlimen Bersatu menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, namun ahli Dewan Rakyat lain tidak berbuat demikian.

Oleh itu, Yang di-Pertuan Agong menjemput ketua parti mengemukakan calon perdana menteri lain, yang menyebabkan namanya dibangkitkan.

“Ketika itulah nama saya sebagai calon perdana menteri dikemukakan oleh ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu dan ketua parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti.”

Mengikut pertimbangannya, kemelut politik akan berpanjangan jika terus menyokong Dr Mahathir kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Oleh itu, beliau meminta Dr Mahathir menyokongnya, kata Muhyiddin lagi dalam ucapan disiarkan di televisyen pada malam ini.

Katanya beliau mahu mengelak pilihan raya umum diadakan sekali lagi kerana berpendapat rakyat sudah tidak berdaya untuk menghadapinya.

“Saya sedar saudara dan saudari sudah letih dan laih dengan kemelut politik yang berlaku. Dalam keadaan ini, saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan penyelesaian.

“Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan,” kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Tambahnya, Dr Mahathir kemudian menyatakan kesediaan untuk memberi laluan jika beliau mendapat majoriti.

“Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020. Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai perdana menteri,” katanya.

Ia dipercayai merujuk sidang akhbar di mana Dr Mahathir membayangkan Muhyiddin akan dilantik menjadi perdana menteri.

Pada pagi keesokan harinya, Dr Mahathir mengumumkan Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti namun akan mengangkat sumpah jawatan perdana menteri.

Katanya enam ahli Parlimen Bersatu termasuk dirinya sendiri tidak menyokong Muhyiddin. 

Dr Mahathir menegaskan beliau berpegang kepada prinsip untuk tidak bekerjasama dengan parti Umno. – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen