Ahli Parlimen Pakatan mula berkumpul di Yayasan Al Bukhary


Ragananthini Vethasalam

Calon perdana menteri PH Dr Mahathir Mohamad dilihat memasuki bangunan Yayasan Al Bukhary pada 8.08 pagi untuk menghadiri pertemuan dengan ahli Parlimen yang menyokongnya. – Gambar fail EPA, 1 Mac, 2020.

AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) bersama sekutu mereka, mula berkumpul di Yayasan Al Bukhary seawal 7.30 pagi ini.

Diiringi polis bermotosikal, calon perdana menteri pakatan itu, Dr Mahathir Mohamad dilihat memasuki bangunan berkenaan pada 8.08 pagi.

Ahli Parlimen Selayang William Leong tiba kira-kira 8.06 pagi.

Semakin ramai ahli Parlimen tiba untuk pertemuan pada 9 pagi ini, dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata Dr Mahathir akan memberikan kenyataan tentang rancangan mereka, selepas ini.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh tiba dengan menaiki bas bersama ahli Parlimen lain pada 8.16 pagi.

“Jumlah kita cukup,” katanya kepada wartawan yang menunggu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dikatakan masuk ke bangunan itu sekitar 7.30 pagi.

Malam tadi, Dr Mahathir mendedahkan beliau menerima sokongan 115 ahli Parlimen dan dijangka mempersembahkan deklarasi berkanun ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Pada 10.30 pagi ini, Muhyiddin Yassin, 72, akan mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-8.

Majlis mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan disiarkan secara langsung.

Seri Paduka semalam mengumumkan pelantikan ahli Parlimen Pagoh yang juga presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri ke-8, mengikut Artikel 40(2)(a) dan Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – 1 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen