Bersatu bercanggah di Johor dan Kedah?


Chan Kok Leong

Bersatu masih bergelut dengan kesan daripada keputusan parti meninggalkan Pakatan pada Isnin lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

PEMIMPIN Bersatu membuat keputusan politik yang bercanggah apabila cuba menyelamatkan kerajaan yang diterajuinya di Kedah dan Johor.

Di Kedah, Bersatu menjalin kerjasama dengan bekas rakan komponen Pakatan Harapan sementara di Johor, ia meninggalkan gabungan itu untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS.

Percanggahan itu jelas kerana Bersatu Johor diketuai oleh presiden parti Muhyiddin Yassin manakala Bersatu Kedah dipimpin oleh timbalan presiden Mukhriz Mahathir.

“Nampak macam mereka ada pandangan berbeza mengenai keputusan meninggalkan Pakatan dan bekerjasama,” kata ketua pegawai eksekutif Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal.

Katanya, Bersatu masih bergelut dengan kesan daripada keputusan parti meninggalkan Pakatan pada Isnin lalu dan tidak menunjukkan ada kesepakatan antara kepimpinan di pusat dan negeri.

“Apa yang kita lihat sekarang ialah hala tuju yang berbeza di peringkat negeri – Melaka, Perak, Kedah, dan Johor,” kata Azlan.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar pula berkata keputusan yang bertentangan antara di Johor dan Kedah mudah dibaca sebagai pertembungan antara Muhyiddin dan Mukhriz.

“Tetapi tanggapan pertama saya ialah Bersatu cuba membuka sebanyak mungkin pilihan yang ada.

“Ia juga bermakna parti politik tidak mempunyai cengkaman yang kuat di negeri seperti sebelum ini.

“Pemimpin di negeri mungkin cuba mengasingkan politik negeri daripada apa yang berlaku di peringkat pusat,” kata Tunku Mohar.

Kerajaan Johor tumbang semalam selepas Bersatu memutuskan untuk bersama Umno dan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.

Keputusan itu diperkenankan oleh Sultan Johor selepas menemuduga 54 daripada 56 ahli dewan undangan negeri semalam. Menurut Setiausaha Sulit baginda Jaba Mohd Noah, gabungan Bersatu-Umno-PAS mempunyai 28 wakil rakyat sementara Pakatan 26.

Tetapi di Kedah, Mukhriz berkata Bersatu kekal sebagai kerajaan bersama Pakatan.

“Adun PH dan Bersatu sepakat dan bersetuju supaya kerajaan negeri Kedah dikekalkan.

“Kerajaan Negeri hari ini adalah gabungan PH dan Bersatu, kesepakatan ini menjamin urusan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa,” katanya dalam satu sidang media di Sri Mentaloon di Alor Setar, semalam.

Bersatu dan Pakatan mempunyai 19 kerusi diDUN Kedah, lebih dua kerusi berbanding PAS dan Umno.

PAS mempunyai 15 kerusi sementara Umno 2.

Kerajaan Pakatan di Kedah juga boleh jatuh sekiranya Mukhriz mengikut jejak keputusan Muhyiddin di Johor iaitu bekerjasama dengan BN dan PAS.

Pada Isnin, Bersatu membuat kejutan apabila menarik diri daripada Pakatan sehingga menyebabkan kerajaan persekutuan runtuh selepas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen