Isu dobi: Jakim masih tunggu kebenaran menghadap Sultan Johor


Amin Iskandar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata Jakim masih menunggu kebenaran menghadap Sultan Johor berhubung kontroversi pendakwah Zamihan Mat Zin. – Gambar The Malaysian Insight, 10 November, 2017.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih menunggu kebenaran Istana Johor untuk menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung kontroversi pendakwah Zamihan Mat Zin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom.

“Kita tunggu bila kebenaran ya,” kata Jamil Khir kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu itu dan bergegas meninggalkan pemberita.

Hampir sebulan lalu pada 14 Oktober, Sultan Ibrahim melarang Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berurusan dengan Jakim selepas Zamihan mengkritik titah baginda berhubung isu dobi untuk orang Islam saja.

Baginda bertitah Jakim juga tidak perlu lagi memberi pandangan kepada Johor dalam perkara membabitkan hal ehwal agama Islam.

Pada hari sama Jakim mengutus surat mohon menghadap Sultan Johor dan permohonan maaf berhubung isu pegawai kadernya Zamihan.

Jurucakap Jakim berkata Jamil dan Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha akan segera menghadap selepas mendapat perkenan baginda.

Disebabkan kenyataannya itu, Zamihan ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengkritik larangan Sultan Johor berhubung isu dobi itu.

Jabatan Agama Islam Selangor juga mengharamkan Zamihan memberi ceramah di masjid dan surau negeri, manakala Majlis Agama Islam Selangor mengarahkan Zamihan disiasat kerana didakwa mengkritik institusi diraja semasa ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam. – 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen