Umno, PAS nafi sokong Muhyiddin calon PM


Setiausaha Agung Umno dan PAS, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan nafi ahli Parlimen dua parti itu mahu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

SETIAUSAHA Agung Umno dan PAS menafikan laporan media bahawa ahli Parlimen dua parti itu menandatangani akuan bersumpah mahu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri.

Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan, menulis di akaun Twitter masing-masing, berkata laporan yang memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man itu tidak benar.

“Pendirian kami tetap agar Parlimen dibubarkan. Sebarang kenyataan hanya boleh dikeluarkan oleh presiden dan setiausaha agong secara rasmi,” tulis Annuar.

 

Takiyuddin juga berkata PAS dan Umno kekal dengan cadang untuk Parlimen dibubarkan, selepas pentadbiran Pakatan Harapan (PH) runtuh awal minggu ini.

“Sebarang kenyataan rasmi PAS hanya daripada Presiden dan Setiausaha Agung secara bertulis,” kata Takiyuddin.

 

The Star Online hari ini melaporkan Tuan Ibrahim berkata Umno dan PAS sebelum ini menandatangani akuan bersumpah menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Mereka bagaimanapun menandatangani satu lagi akaun bersumpah menyokong Muhyiddin pula selepas Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri dan kerajaan PH runtuh.

Dr Mahathir letak jawatan pada Isnin lalu. Pada hari sama, Bersatu mengumumkan keluar PKR sementara 11 ahli Parlimen PKR juga keluar parti.

Beliau bagaimanapun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri sementara.

Seri Paduka pada Selasa dan Rabu menerima menghadap 220 daripada 222 ahli Parlimen untuk memastikan kedudukan sokongan majoriti di Dewan Rakyat bagi sebuah kerajaan dibentuk. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen