Mukhriz bertemu barisan exco Kedah


Zaim Ibrahim

Menteri Besar Kedah mengadakan pertemuan dengan barisan exco Kedah ketika kedudukan negeri itu goyah selepas Bersatu keluar Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian 26 Februari, 2020.

MUKHRIZ Mahathir malam ini mengadakan pertemuan dengan barisan exco Kedah ketika kedudukan kerajaan negeri itu goyah selepas Bersatu keluar Pakatan Harapan.

Menteri Besar Kedah itu tiba di Lapangan Terbang Alor Setar dari Kuala Lumpur pada jam 8:20 malam, terus bergegas ke kediaman rasminya di Sri Mentaloon di Alor Setar, untuk mengadakan pertemuan itu.

“Bagi saya peluang berjumpa dengan barisan exco sebelum boleh buat kenyataan sebab waktu ini banyak lagi perkara yang saya harus lakukan untuk menjamin masa depan Kedah,” kata beliau kepada media di Alor Setar, Kedah.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan lain daripada media.

Sehingga berita ini ditulis, beberapa kenderaan exco dilihat masuk ke kediaman rasmi Menteri Besar itu.

Pertemuan Mukhriz bersama barisan exconya sudah dua kali tertangguh, selepas pada awalnya dijadualkan diadakan pada Selasa dan Rabu pagi namun kedua-duanya dibatalkan.

Kedah merupakan satu daripada empat negeri yang dilihat berdepan masalah selepas Bersatu keluar PH pada Isnin lalu, susulan perkembangan politik di peringkat nasional sejak hujung minggu lalu.

Di Kedah, tanpa Bersatu, PH – gabungan yang dibentuk oleh DAP, PKR, dan Amanah – mempunyai jumlah kerusi yang kurang berbanding pembangkang PAS dan Umno.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh berkata walaupun Bersatu keluar dari PH, Mukhriz dan lima wakil rakyat Bersatu sedia membentuk kerajaan bersama untuk mengekalkan pentadbiran sedia ada.

“Tidak berlaku tukar kerajaan. Mukhriz bersetuju untuk kekal bersama PH. Dia tidak mahu PAS dan Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PH membentuk kerajaan di Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 dengan majoriti tipis dua kerusi. 

DAP, PKR, dan Amanah mempunyai keseluruhan 13 kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH.

Kerajaan Kedah dibentuk dengan gabungan enam kerusi Bersatu, tujuh PKR, empat DAP dan dua Amanah.

Umno dan PAS, yang menjalin kerjasama politik secara rasmi sejak September lalu, mempunyai keseluruhan 17 kerusi, dengan PAS (15) kerusi dan Umno (2).

Ismail juga berkata Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sudah meminta dipersembah maklum mengenai kedudukan majoriti di DUN.

“Majoriti ada dengan Bersatu bersama PH,” katanya.

Tambah beliau, barisan exco akan menyampaikan kepada Mukhriz keyakinan mereka kepadanya untuk terus menerajui negeri. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen