Dr Mahathir adakan pertemuan dengan pemimpin parti politik


Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Pejabat Perdana Menteri selepas pertemuan dengan beberapa pemimpin parti politik tempatan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Februari, 2020.

PERDANA menteri interim Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin parti politik di pejabatnya, kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut, Dr Mahathir bertemu Ketua Menteri Sarawak dan Presiden GPS Abang Johari Openg; Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS Abdul Presiden Hadi Awang; dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau juga bertemu timbalan presiden PKR yang dipecat Mohamed Azmin Ali, yang kini mengetuai pakatan 11 ahli Parlimen bebas.

Perdana menteri dijangka bertemu Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal esok. 

Tiada butiran mengenai mesyuarat dinyatakan.

Mesyuarat berlangsung ketika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menemubual ahli Parlimen secara individu hari ini dan esok untuk membantu beliau menentukan siapa yang patut menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Agong bertemu 90 ahli Parlimen mulai jam 2.30 petang tadi dan selebihnya pada esok.

Politik Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu susulan perletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri semalam.

Keadaan bertambah buruk selepas Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan, menyebabkan ia hilang majoriti di Parlimen.

Semalam, Agong menerima peletakan jawatan Dr Mahathir, tetapi melantiknya sebagai perdana menteri interim sehingga pentadbiran baru dibentuk.

Kabinet dibubarkan seiring dengan peletakan jawatan Dr Mahathir.

Dr Mahathir sekali lagi menjadi pilihan ahli Parlimen untuk memimpin negara. Nama lain yang disenaraikan termasuk Anwar dan Muhyiddin. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen