Tarikh persidangan DUN Johor masih jadi tanda tanya


Speaker Dewan Negeri Johor Suhaizan Kaiat berkata sedang memantau secara dekat perkembangan politik semasa terutama situasi yang berlaku selepas pembubaran Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadualkan pada 5 Mac masih menjadi tanda tanya, susulan situasi terkini politik negara. 

Speaker Dewan Negeri Johor Suhaizan Kaiat berkata beliau memantau secara dekat perkembangan politik semasa terutama situasi yang berlaku selepas pembubaran Kabinet semalam.

“Dari segi tanggungjawab saya sebagai speaker, ia seperti biasa, tiada sebarang perubahan. Semalam saya sempat bersama Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal untuk membuat persediaan persidangan pada 5 Mac ini. Jadi sekarang, pentadbiran (Dewan Negeri Johor) masih berjalan seperti biasa.

“Saya akan memerhati… adakah pihak kerajaan negeri bersedia untuk persidangan itu. Saya akan berbincang dengan legal advisor (penasihat undang-undang) selewat-lewatnya Khamis ini,” kata beliau yang menyatakan sebarang keputusan perlu dibuat dalam masa lima hari sebelum sesuatu persidangan dewan dijalankan.

Menurut beliau, kuasa penundaan persidangan terletak di bawah kuasa speaker berdasarkan nasihat penasihat undang-undang.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad hari ini yang mengatakan BN Johor mampu meraih sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, Suhaizan berkata ia perlu dilakukan mengikut proses undang-undang. 

Beliau berkata proses berkenaan perlu dilakukan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, yang antara lain termasuk mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada menteri besar mahupun kerajaan negeri berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang dihubungi, menyatakan mereka masih menjalankan tugas seperti biasa.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding BN iaitu 19 kerusi dan PAS satu kerusi.

Bagaimanapun, PH memperoleh tiga kerusi tambahan apabila Adun daripada Umno iaitu Adun Sedili Rasman Ithnain, Adun Johor Lama Rosleli Jahari dan Adun Endau Alwiyah Talib menyertai Bersatu pada 25 November 2018, menjadikan 39 kerusi .

Daripada 56 kerusi DUN Johor, DAP dan Umno masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu 11 kerusi, Amanah sembilan kerusi, PKR lima, MIC dua dan PAS dengan satu kerusi. – Bernama, 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen