Dr Mahathir akan umum pakej rangsangan ekonomi Covid-19


Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Covid-19 dalam kapasitinya sebagai perdana menteri interim pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

DR Mahathir Mohamad akan meneruskan pengumuman pakej rangsangan ekonomi Putrajaya untuk menangani wabak Covid-19, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

“Dr Mahathir sudah menegaskan pakej rangsangan ekonomi akan diteruskan pada tarikh yang akan diumumkan olehnya dalam kapasiti beliau sebagai perdana menteri interim,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha agung DAP, yang jawatan Kabinetnya dibatalkan selepas peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri semalam, berkata beliau sudah memuktamadkan pakej itu pada Ahad, 23 Februari, hari terakhirnya sebagai menteri kewangan.

“(Ia) akan dibentangkan kepada Dr Mahathir untuk kelulusannya pada 24 Februari. Namun, beliau mengemukakan peletakan jawatannya pada 24 Februari.”

Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri semalam, kira-kira sejam selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengumumkan keluar parti itu daripada kerajaan Pakatan Harapan, menyebabkan pakatan runtuh.

Perkembangan ini susulan gerakan politik pada hujung minggu lalu dan spekulasi sebuah kerajaan baru akan dibentuk bersama pembangkang.

Lim berkata beliau bertemu Dr Mahathir pagi ini, pada hari pertamanya sebagai perdana menteri sementara, untuk membincangkan perkembangan politik, termasuk pakej rangsangan ekonomi Covid-19. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen