Ramasamy yakin Dr Mahathir bukan dalang kemelut politik negara


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yakin Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dalam gerakan pengaturan semula landskap politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2020.

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yakin Dr Mahathir Mohamad bukanlah individu yang menjadi dalang di sebalik gerakan pengaturan semula landskap politik negara. 

Katanya Dr Mahathir tidak akan meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu hari ini sekiranya gerakan itu adalah rancangannya. 

“Saya tidak fikir Tun (Dr Mahathir) menjadi dalang (gerakan itu). Kenapa dia nak letak jawatan (sekiranya beliau dalang). Kami perlu tunggu,” kata ahli Parlimen daripada DAP itu ketika ditemui di kediaman Presiden PKR Anwar Ibrahim di Bukit Segambut, di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, mencetuskan tanda tanya tentang tujuan mesyuarat itu diadakan.

Sebelum itu, beberapa mesyuarat berasingan melibatkan beberapa parti politik di tengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara. 

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong. – Bernama, 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen