Dr Mahathir sedia disiasat polis berhubung kenyataan ‘Bugis’


Amin Iskandar

Dr Mahathir melintasi gambar lamanya ketika berjalan menuju majlis "A Dialogue with Tun Dr Mahathir Mohamad: The Nature of Leadership in our Digital Future" di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 November, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk disiasat polis berhubung kenyataannya mengenai “komuniti Bugis” semasa berucap pada perhimpunan di Petaling Jaya bulan lalu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengulangi beliau tidak pernah menghina komuniti Bugis dan kenyataannya itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak.

“Itu memang polis punya kerja. Polis memang akan buka kertas siasatan, kalau dipanggil saya memang kena pergilah,” kata bekas perdana menteri itu di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai desakan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla agar meminta maaf, Dr Mahathir mengulangi beliau tidak pernah menghina komuniti Bugis.

“Saya tak kata apa pun kepada Jusuf Kalla atau kepada semua orang Bugis. Saya kata pada Najib sahaja,” katanya.

Semalam polis mengesahkan membuka dua kertas siasatan terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau menghina komuniti Bugis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat memberitahu The Malaysian Insight, dua kertas siasatan dibuka terhadap Dr Mahathir selepas pengerusi PH itu didakwa menghina komuniti Bugis dalam dua ucapan yang dibuatnya di Selangor.

Peristiwa terbaru berlaku pada 14 Oktober di perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Padang Timur, Petaling Jaya.

“Saya boleh mengesahkan yang kami sedang menyiasat Dr Mahathir berhubung kenyataannya mengenai Bugis. Kami akan mengambil kenyataannya tidak lama lagi,” kata Fadzil kepada The Malaysian Insight. 

Menurut Fadzil, kertas siasatan dibuka walaupun sebelum kenyataan dikeluarkan oleh Dewan Diraja Selangor yang menggesa polis untuk menyiasat bekas perdana menteri itu.

Dewan Diraja Selangor sebelum ini menggesa pihak polis menyiasat Dr Mahathir kerana didakwa mencetuskan kebencian terhadap keturunan Bugis.

Kenyataan bekas perdana menteri mengenai Bugis juga dikritik oleh beberapa anggota masyarakat, yang menuntut agar beliau memohon maaf.

Persatuan Bugis Indonesia menuntut Dr Mahathir meminta maaf atau ia akan mengadakan protes di luar kedutaan Malaysia di Jakarta.

Bugis adalah kumpulan etnik dari Sulawesi di Indonesia. Sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia berketurunan Bugis.

Semasa mengecam Najib pada perhimpunan itu, Dr Mahathir didakwa mengatakan nenek moyang Najib adalah “lanun Bugis.”

Najib, sebelum ini pernah berbangga dengan keturunan Bugis keluarganya.

Dewan Diraja Selangor berkata klip video ucapan jelas menunjukkan Dr Mahathir menghina dan mengatakan bangsa Bugis berasal daripada golongan dengan lanun, penjenayah dan perompak.

Susulan itu, Dr Mahathir berkata:

“Bugis tak semua lanun. Raja kita pun ada keturunan Bugis juga. Saya tidak kata raja kita lanun, yang saya kata ialah Najib.”

Menerusi video di Facebook rasmi Bersatu baru-baru ini, bekas perdana menteri itu berkata jika ia memerlukannya masuk lokap kerana menentang Najib, beliau rela menerimanya.

“Sejak saya aktif melawan Najib, ramai orang berminat supaya saya diberi pakaian oren dengan perkataan lokap. Jadi, ini satu langkah lagi ke arah itu,” kata Dr Mahathir. – 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen