Dewan Diraja Selangor mahu Dr Mahathir disiasat kerana menghasut


Dr Mahathir Mohamad didakwa membuat kenyataan menghina dan menghasut rakyat membenci masyarakat Bugis semasa berucap di perhimpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Petaling Jaya bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2017.

DEWAN Diraja Selangor ingin Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad disiasat kerana menghasut, susulan dakwaan mencetuskan kebencian terhadap keturunan Bugis.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata Dr Mahathir dilihat seolah-olah menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, merendahkan dan melihat masyarakat Bugis dengan penghinaan.

Dr Mahathir didakwa membuat kenyataan sedemikian dalam ucapan di perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober, kata Hanafisah.

“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menganggap ucapan berkenaan (oleh Dr Mahathir) amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara,” kata kenyataan itu.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis.”

“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan isu ini dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Dr Mahathir.”

Kenyataan bekas perdana menteri mengenai Bugis dikritik oleh anggota masyarakat yang menuntut agar beliau memohon maaf.

Persatuan Bugis Indonesia menuntut Dr Mahathir meminta maaf atau ia akan mengadakan protes di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia.

Bugis adalah kumpulan etnik yang berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia. Sebahagian besar masyarakat Islam Malaysia berketurunan Bugis.

Mengenai serangannya terhadap Perdana Menteri Najib Razak pada perhimpunan tersebut, Dr Mahathir, didakwa mengatakan nenek moyang Najib adalah “lanun Bugis”.

Najib pada masa lalu begitu berbangga dengan keturunan Bugis keluarganya.

Dewan Diraja Selangor hari ini berkata klip video ucapan jelas menunjukkan Dr Mahathir menghina dan mengatakan bangsa Bugis berasal daripada golongan dengan lanun, penjenayah dan perompak.

“Fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor berketurunan Bugis merupakan pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama dan keamanan di seluruh Kepulauan Melayu,” kata Dewan Diraja itu.

“Dr Mahathir sebagai seorang bekas perdana menteri yang menerajui negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.”

Sultan Selangor juga mengingatkan ahli-ahli politik supaya tidak menggunakan isu keturunan kaum dan etnik sebagai modal politik kerana ia boleh mengancam keharmoniandan perpaduan, kata Hanafisah. – 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen