Kemelut politik jejas ekonomi, usaha majukan rakyat, kata Guan Eng


Barisan pemimpin DAP yang diketuai Setiausaha Agong Lim Guan Eng (tengah) semasa sidang media di ibu pejabat parti di Pudu, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2020.

KEMELUT politik semasa menjejaskan usaha kerajaan meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan perniagaan dan rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Anda boleh rujuk pasaran saham dan nilai sendiri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini, ketika diminta mengulas sama ada senario politik semasa akan menjejaskan ekonomi negara.

Bursa tempatan terus diasak tekanan akibat kemelut landskap politik semasa, mengheret turun indeks itu mencecah paras tertendahnya sejak Disember 2011.

Sewaktu ditutup, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.68% atau 41.14 mata kepada 1,490.06 berbanding 1,531.20 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Selain itu, di papan skor, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 1,015 berbanding 138 manakala  222 lain tidak berubah, 624 tidak didagangkan dan 21 lain digantung.

Sementara itu, ringgit turut susut ke paras 4.2230/2270 berbanding dolar Amerika Syarikat setakat tengah hari ini berbanding 4.1900/1940 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata: “Kenapa anda perlu drama seperti ini ketika tumpuan kita sepatutnya kepada usaha meningkatkan ekonomi dan rakyat, terutama dalam menghadapi penularan  Covid-19?

“Itulah yang perlu menjadi tumpuan berbanding kepentingan diri,” katanya yang juga menteri kewangan.

Sidang media itu diadakan selepas Dr Mahathir Mohamad bertindak menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 tengah hari tadi.

Beliau turut melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Parti Bersatu.

Susulan peletakan jawatan beliau, kerajaan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh empat parti, secara praktikalnya lumpuh.

Sepertimana negara lain, Malaysia kini berdepan cabaran untuk memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi.

Ini berlaku ketika banyak isu lain menjejaskan pertumbuhan global masih belum selesai dan diburukkan lagi dengan penularan Covid-19 berkenaan.

Kerajaan dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada Khamis bagi membantu sektor penerbangan, peruncitan dan pelancongan menangani impak ketara Covid-19 yang bermula di Wuhan, China.

Pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengumumkan penularan itu akan menyebabkan penyusutan 0.1-0.2 mata peratusan daripada kadar pertumbuhan global, namun ini akan disusuli dengan peningkatan secara ketara pada kemudiannya.

Malaysia yang juga sebuah ekonomi terbuka, tidak terkecuali daripada perkembangan luaran ini dengan impak Covid-19 dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh suku pertama tahun ini. – Bernama, 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen