Perlukah wira dalam hidup kita?


Wan Hamidi Hamid

TIDAK perlu memilih di antara dua sahabat Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai wira. Kedua-dua panglima raja Melaka itu sama sifat mereka, walau sedikit berbeza, kerana mewakili alam feudal Melayu yang hanya mengutamakan golongan atasan tanpa mempedulikan nasib rakyat. Itu kata-kata daripada Dr Shaharuddin Maaruf.

Ini bukan polemik baru. Ini adalah pandangan yang dibawakan dalam bukunya Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu terbitan SIRD (2014). Buku ini pula sebenarnya edisi baru daripada karya asalnya yang diterbitkan pada 1993 yang merupakan terjemahan daripada naskah asalnya Concept of a Hero in Malay Society (1984).

Walaupun sudah lebih 30 tahun ditulis, tidak mengejutkan mengapa buku ini atau hujah penulisnya kurang popular dalam wacana sosio-politik-ekonomi Melayu. Ini adalah kerana Shaharuddin tidak melayan impian mencari wira atau hero. Sebaliknya beliau meremukkan fantasi sesetengah orang yang masih mencari idola untuk dipuja.

Seperti yang dicatatkannya dalam prakata edisi 2014, buku ini bukan tentang wira, ia merupakan kritikan terhadap pemujaan wira. “Ia mengkaji tokoh-tokoh hanya sekadar mereka itu mencerminkan nilai-nilai dan idealisme pemuja-pemuja mereka sendiri,” tulisnya, dan memang beliau tidak pun berhasrat untuk menunjukkan kepada kita siapa yang patut menjadi wira.

Tentu saja tulisan sebegini tidak mendapat tempat di dalam masyarakat yang sentiasa tercari-cari wira untuk dijadikan ikutan. Daripada karya-karya klasik seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, timbul idea pihak pemerintah moden yang mahu menjadikan Tuah sebagai wira kerana sikapnya yang taat pada pemimpin.

Sudah tentu pandangan itu melahirkan bantahan apabila ada yang membawakan idea bahawa Jebat yang sepatutnya menjadi hero sebenar kerana berani menentang pemimpin yang zalim.

Persoalan itu berterusan sehingga hari ini. Walaupun sudah lama Shaharuddin menulis bukunya, walaupun Prof Syed Hussein Alatas menulis banyak buku dan makalah tentang kajian kritikal terhadap bangsa Melayu, ia masih menjadi bahan perbualan di kedai kopi dan di ruang-ruang marhaen yang lain. Ia tetap berkisar tentang siapa jaguh di antara Tuah dan Jebat.

Feudalisme

Shaharuddin bagaimanapun merempuh batas sembang siapa-wira dengan mengemukakan dua pemikiran feudal di kalangan elit Melayu:

  • Golongan yang memuja dan tidak kritis terhadap pemimpin, dan lazimnya daripada kumpulan pemerintah dan penyokong mereka; dan
  • Golongan yang mengutuk sikap wira feudal yang taat setia membuta tuli, dan golongan ini menganggap diri mereka bebas daripada pengaruh feudal.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, bagi golongan anti-setia membuta tuli yang mengangkat Jebat sebagai wira, “ia hanya melibatkan satu penyesuaian dalam lingkungan tradisi feudal yang sama juga. Pendiriannya menganjur Hang Jebat sebagai wira mewujudkan satu bentuk kesedaran palsu dalam masyarakat Melayu…mereka cuma menggantikan seorang tokoh feudal dengan seorang tokoh feudal yang lain.”

Hang Tuah seperti yang digambarkan dalam hikayatnya menganggap raja sebagai pengganti Tuhan di bumi; dengan itu, taat setia kepada pemimpinnya amat penting “dan merupakan syarat utama untuk ke syurga”. 

Jebat pula – apabila Tuah dijatuhkan hukuman mati kerana difitnahkan pembesar lain – mengambil kesempatan atas nama membela sahabatnya dengan menguasai pentadbiran istana, “berfoya-foya dengan dayang-dayang istana”, termasuk meniduri gundik raja.

Setelah Tuah yang sebenarnya disembunyikan bendahara dibawa kembali kepada raja untuk melawan Jebat, dengan penuh taat setia kepada pemimpin, Tuah menewaskan sahabatnya. Sebelum mati, Jebat mengamuk dan membunuh ribuan rakyat Melaka yang tidak berdosa.

“Hang Tuah tidak pula mengambil sebarang tindakan untuk (menghalang) beliau dan ini membuktikan beliau tidak mengambil berat akan kepentingan massa Melayu,” tulis Shaharuddin.  Bagi beliau, Tuah dan Jebat yang hidup di alam feudal “menunjukkan kedangkalan moral dan intelek, yang terbukti dengan sikap mereka tidak mempedulikan masyarakat Melayu di luar istana”. 

Mengapa Shaharuddin begitu kritikal dengan feudalisme dalam masyarakat Melayu? Kita boleh sedikit-sebanyak memahami pendiriannya apabila beliau mengambil takrifan S.H. Alatas tentang feudalisme yang antara lain mempunyai sifat-sifat berikut:

1. Jurang luas di antara yang miskin (petani) dan kaya (bangsawan) di mana golongan atasan menguasai bidang ekonomi, sosial, politik dan perundangan.

2. Sistem politik turun-temurun anak-beranak

3. Hubungan bersifat menindas di antara pembesar dan rakyat, termasuk amalan buruh tanpa upah

Daripada pandangan kritis ini, memetik karya Abdullah Munshi, iaitu Kisah Pelayaran Abdullah, Shaharuddin melihat masalah dalam masyarakat Melayu bukan kerana salah orang Melayu tetapi kerana “kepimpinan yang tidak sihat”.

Beliau menulis: “Elit Melayu yang mengambil alih kuasa selepas kemerdekaan bukan sahaja dipengaruhi oleh psikologi feudal zaman lampau, tetapi juga oleh falsafah hidup kebendaan.”

Menjelaskan tentang “kebendaan”, katanya ia adalah “suatu corak pemikiran yang menganjur manusia mengejar kekayaan tanpa mengira sama ada cara mendapatkan kekayaan itu melanggar nilai-nilai etika menurut takrif dan fahaman agama mereka, Islam; sementara itu amalan-amalan rasuah dan menyalahgunakan jawatan-jawatan politik pula tidak dikecam.”

Penjelasannya bertujuan membezakan istilah “kebendaan” yang digunakan oleh fanatik agama bagi menolak keselesaan material dalam hidup, dan ia juga bukan konsep materialisme sejarah daripada aliran Marxisme.

Elit Melayu mundur

Dengan itu, jika polemik semasa tentang masyarakat Melayu yang masih tercungap-cungap pada tahap “mengapa orang Melayu mundur?”, Shaharuddin lebih awal lagi mendedahkan puncanya, iaitu golongan elit Melayu yang sebenarnya mundur pemikiran dan cara hidup mereka.

Menurutnya, “elit yang mundur sekali-kali tidak akan memupuk minat dan nilai intelektual secara jujur dan sedar, kerana masyarakat umum yang tajam dan segar inteleknya tidak akan buta terhadap kelemahan-kelemahan elit yang mundur, atau menerima sahaja kelemahan-kelemahan ini.”

Beliau menyimpulkan bahawa orang Melayu sukar memahami kepimpinan yang baik kerana pemahaman dan penghargaan mereka “telah terbantut oleh konsepsi wira yang dianjur oleh elit Melayu”.

Yang masih tidak berubah hingga ke hari ini adalah gambaran yang beliau lakarkan  sewaktu menulis buku tersebut pada akhir dekad 1970-an: “Salah satu dari cita-cita negatif di kalangan elit Melayu dominan adalah keghairahan meraih keuntungan, impian menjadi kaya dengan apa cara jua, dan kerakusan mengecap keselesaan serta hidup mewah tanpa mengendahkan lunas-lunas etika. Cita-cita ini merupakan satu kuasa penggerak gejala rasuah dalam masyarakat.”

Walaupun tulisan beliau banyak menyentuh tentang adat dan budaya Melayu yang dibandingkannya dengan nilai-nilai Islam, Shaharuddin juga seolah-olah  telah meramalkan apa yang bakal berlaku dalam masyarakat Melayu berhubung hal-hal agama seperti yang kita lihat hari ini.

Beliau menulis, “golongan elit Melayu lebih mematuhi adat upacara atau ritual agama mereka. Tiada usaha jujur dan sedar untuk menterjemah nilai-nilai Islam menjadi satu falsafah yang berkesan yang dapat dijadikan pegangan secara kolektif dan secara sedar oleh golongan elit Melayu dalam memainkan peranan-peranan sosial mereka.”

“Mereka tidak berasa malu yang terdapat dalam masyarakat mereka gejala-gejala kemiskinan, ketidakadilan sosial, kejahilan, sifat tamak dan oportunis, sikap kadam, kepimpinan yang tidak sihat, sikap tidak rasional dan tahyul, berleluasa pengertian nasionalisme yang sempit dan kedudukan sains dan teknologi yang mundur.”

Masih mencari wira?

Oleh itu, apabila Fergana Art Space menganjurkan sesi sembang Mencari Hero: Apa Itu yang turut dibantu oleh The Malaysian Insight, Gerakbudaya dan DuBook di ibu kota pada 4 November lalu untuk membedah karya Shaharuddin itu, ia merupakan satu usaha baik untuk mendedahkan hujah yang selama ini seperti dipendamkan.

Namun, walaupun dengan kehadiran yang memberangsangkan, terasa seperti hadirin seolah-olah malu atau kurang jelas atau mungkin enggan menerima pandangan yang dikemukakan oleh pakar ekonomi Dr Muhamed Abdul Khalid dan pengarang Noor Azam Shairi serta penasihat Fergana, Jaafar Ismail.

Mungkin ia memerlukan lebih banyak sesi sembang seperti itu. Atau mungkin elok dilupakan sahaja hal ini kerana ramai yang masih mencari wira, yang mahu memuja idola. Mungkin lebih mudah mengikut daripada berfikir sendiri. Sedar atau tidak, mungkin feudalisme masih kental di sanubari kita. – 10 November, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen