KEPUTUSAN Jabatan Peguam Negara semalam untuk menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 suspek yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah satu keajaiban yang tidak terjangka, kata keluarga tertuduh.
Antara 12 tertuduh tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek yang juga pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34 dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, 60.
Anak Gunasekaran, Annun Nancy Gunasekaren, 30 ketika dihubungi The Malaysian Insight meluahkan rasa gembira setelah mendapat tahu mengenai berita itu.
“Sebaik mendapat tahu berita ini daripada rakan bapa, kami terkejut dan diam seribu bahasa. Kegembiraan pada ketika itu sukar digambarkan dan saya tidak sabar untuk kedatangan Isnin ini.
“Malah, saya juga menjangkakan kejutan daripada bapa untuk pulang ke rumah hari ini juga meskipun itu adalah mustahil. Keputusan yang mustahil juga boleh diumum peguam negara yang turut menyertakan alasan yang rasional untuk keputusannya itu, kami terhutang budi dengan beliau,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, keluarganya seolah-olah putus harapan selepas permohonan ikat jamin Saminathan ditolak mahkamah.
“Selepas itu, kami mula fokus kepada proses menghantar memo kepada kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), peguam negara, Parlimen dan lain-lain untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan militan dalam usaha untuk membebaskan bapa dan 11 orang lagi.
“Tetapi, hari ini, peguam negara yang arif dalam hal undang-undang membuktikan ada cara lain juga untuk membebaskan mereka, cara yang tidak pernah terlintas dalam minda kami,” katanya yang merindui bapanya yang ditahan sejak 138 hari lalu.

Mengulas tentang langkah seterusnya yang akan diambil, Annun berkata, pada Isnin mereka akan menunggu di mahkamah untuk membawa pulang bapanya.
“Meskipun 12 orang ini sudah bebas, kami akan meneruskan usaha memberi memo kepada semua 222 ahli parlimen di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bagi mendesak LTTE dikeluarkan daripada senarai kumpulan militan di Malaysia,” katanya.
Semalam Peguam Negara Tommy Thomas, mengumumkan penghentian prosiding terhadap 12 tertuduh berkaitan dakwaan menyokong LTTE, selepas mendapati 34 pertuduhan ke atas mereka tiada prospek jelas untuk sabitan.
Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.
Sementara itu, anak kepada pemilik restoran, B Subramaniam yang juga antara 12 ditahan mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan kerana berita gembira muncul menjelang sambutan Maha Shivaratri yang disambut penganut agama Hindu seluruh dunia.
Ravindran Subramaniam, 31, berkata Maha Shivaratri adalah perayaan agama Hindu bagi mengagungkan Dewa Shiva dan pada malam perayaan ini, Dewa Shiva akan menari secara bebas.
“Ia selari dengan makna perayaan itu. Bapa saya akan bebas selama ini dan meskipun 133 hari dirinya dalam penjara tidak boleh digantikan, namun saya cukup gembira dia akan pulang akhirnya.
“Saya cuma berharap Isnin ini dia dan 11 orang itu akan dibebaskan tanpa sebarang syarat. Hari ini penantian kami untuk berjumpa dengannya menjadi hampa selepas tidak mendapat apa-apa berita mengenai pembebasan mereka meskipun pertuduhan terhadap mereka sudah diberhentikan. Kami harap yang terbaik sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 22 Februari, 2020.
Komen