Lembaga Disiplin PKR siasat kekacauan Kongres Pemuda


Zaim Ibrahim

Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Hilman Idham diberikan surat tunjuk sebab oleh lembaga disiplin parti berhubung beberapa perkara terkait dengan kekecohan semasa kongres tahunan sayap itu pada Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

BEBERAPA pemimpin Pemuda PKR, yang dianggap cenderung menyokong Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, diberikan surat tunjuk sebab oleh lembaga disiplin parti berhubung beberapa perkara terkait dengan kekecohan semasa kongres tahunan sayap itu pada Disember lalu, kata sumber.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kasim bagaimanapun menafikan tindakan itu bermotifkan politik.

The Malaysian Insight difahamkan antara yang menerima surat tunjuk sebab termasuk Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Hilman Idham serta dua naib ketua Mohd Nazree Mohd Yunus dan S Jestin Raj.

The Malaysian Insight turut melihat surat tunjuk sebab bertarikh 20 Februari yang diberikan kepada Jestin dan Mohd Ridhwan.

Ketika dihubungi The Malaysian Insight, Jestin mengesahkan menerima surat tunjuk sebab itu tetapi enggan mengulas lanjut.

“Ya, betul (terima surat tunjuk sebab),” katanya ringkas.

Hilman yang juga dihubungi bagaimanapun enggan mengulas.

Kelmarin, Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh Dr Afif Bahardin juga mendedahkan beliau mendapat surat tunjuk sebab kerana terlibat dalam kekacauan semasa kongres tersebut, dan dengan itu didakwa melakukan sabotaj terhadap parti.

The Malaysian Insight difahamkan selain mereka, sekurang-kurangnya tiga lagi pemimpin Pemuda PKR menerima surat sama iaitu Ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR Pusat, Kamis Burhan; Ketua Pemuda Padang Serai, Mohd Ridhwan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Cabang Sungai Petani, Mohd Firdaus Yusoff.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight lebih 10 pemimpin Pemuda PKR diberikan surat tunjuk sebab sama.

“Saya rasa lebih (daripada 10 individu). Mereka (Lembaga Disiplin)  sasarkan pimpinan yang hadir waktu sidang media yang dipimpin YB Hilman Disember lalu,” jelas sumber itu yang turut diberikan surat tunjuk sebab.

Sidang media yang dimaksudkan ialah gesaan Hilman supaya Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 dibatalkan dan diadakan semula susulan insiden kekacauan yang berlaku di luar dewan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

“Ini prosedur biasa.”

Insiden kekacauan berlaku dua kali pada kongres pemuda PKR di Melaka pada Disember lalu dengan ketua sayap Akmal Nasir mengatakan kejadian itu 'dirancang'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kasim mengesahkan pihaknya kelmarin mengeluarkan beberapa surat tunjuk sebab berhubung kekacauan semasa Kongres AMK di Melaka pada Disember lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan pihaknya hanya mensasarkan siasatan terhadap mereka yang menyokong pemimpin tertentu dalam parti.

Katanya, surat tunjuk sebab hanyalah prosedur biasa dan pihak yang diberikan surat itu, hanya perlu menjawab dan memberikan penjelasan.

“Ini prosedurnya, ada aduan (maka lembaga disiplin) bagi surat tunjuk sebab (kepada individu dilaporkan).

“Selepas itu, (mereka) hanya jawab… saya tidak terlibat atau saya minta maaf. Kemudian kita pun boleh tutup kes,” jelasnya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tegas Ahmad Kassim, surat tunjuk sebab yang dikeluarkan semalam juga bukan atas satu isu dan tidak juga berat sebelah.

Katanya, Lembaga Disiplin sebelum ini pernah mengeluarkan surat tunjuk sebab dalam kes lain.

Beliau menyebut surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Pengerusi PKR Perak 

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Presiden parti Anwar Ibrahim, serta kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Mereka diam-diam sahaja (tidak heboh kepada media) dan kami tutup kes. Ini perkara biasa, bukan isu pun. Orang lain pun saya bagi,” tambah beliau.

Pada Ogos 2019, Ahmad Kasim berkata lembaga disiplin parti menerima penjelasan Farhash dan Amirudin berhubung kenyataan mereka mengenai video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Ditanya jumlah sebenar mereka yang dikeluarkan surat tunjuk sebab semalam, Ahmad Kassim berkata tidak ingat bilangannya.

“Saya tidak ingat berapa puluh (surat diberikan). Surat bertarikh 20 Februari tidak ingat, sebab banyak,” katanya. – 22 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen