Kerajaan mula buru penyebar berita palsu


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri di JPM, Hanipa Maidin dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Eddin Syazlee Shith semasa sidang media di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Februari, 2020.

KERAJAAN akan memulakan “operasi” memburu penyebar berita palsu mulai hari ini, kata Mohamed Hanipa Maidin.

Menurut timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, berita palsu mengenai Covid-19 adalah titik permulaan bagi tindakan tegas dalam menangani berita palsu dan perkauman yang menyebabkan keresahan di kalangan orang awam.

Katanya, jika ada keperluan pihaknya juga akan merangka undang-undang baru dalam menangani berita palsu.

“Setakat ini sudah ada jawatankuasa kerja khas oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Bermula hari ini, jawatankuasa kerja itu akan lebih efektif dan mula memburu sesiapa saja.

“Bagaimanapun, kami bertegas tidak akan semak semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang sudah dihapuskan sebelum ini. Kami akan menggunakan undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, kerajaan bersedia menerima kritikan terbuka dalam semua medium tetapi tidak akan berkompromi dengan penyebar berita palsu dan fitnah.

“Kita bukan tidak boleh dikritik. Sesiapa sahaja boleh kritik kerajaan, kita boleh terima setiap kritikan itu, tetapi satu sahaja, jangan fitnah, buat berita palsu atau berbohong mengenai kerajaan.”

Hanipa memberi contoh, fitnah dan berita palsu paling baru-baru ini ialah penyebaran gambar kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat berkaitan Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, gambar itu sebenarnya adalah lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa ke Kementerian Kewangan.

“Kesan penyebaran gambar itu, umat Islam di negara ini resah dan situasi itu memberikan kesan kepada Tabung Haji, terutama apabila rakyat mendakwa ia dikawal oleh menteri bukan Islam. 

“Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab dan saya difahamkan akan pendakwaan akan dilakukan ke atas orang yang menyebar berita palsu itu,” katanya.

Beliau turut kesal dengan sesetengah pemimpin PAS, yang sanggup menyebar fitnah dan berita palsu dengan mengeluarkan kenyataan kononnya DAP hendak menghapuskan kuota Bumiputera.

Sementara itu, SKMM sudah membuka 62 kertas siasatan selepas menerima 939 aduan sejak Januari 2019 hingga hari ini berhubung berita palsu dan berita membabitkan isu perkauman, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Eddin Syazlee Shith.

Menurutnya, bagi kes Covid 19 sahaja, sebanyak 27 kertas siasatan telah dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan empat daripada mereka didakwa oleh polis dan empat lagi didakwa oleh SKMM termasuk seorang pelakon, hari ini.

“Daripada 939 aduan, 62 kertas siasatan dibuka, 73 kandungan diarahkan untuk diturunkan, 49 kandungan dilaporkan sebagai penyalahgunaan, 793 kes diberikan nasihat kerana maklumat tidak lengkap dan konflik interpersonal manakala satu kes dirujuk ke agensi lain. 

Menurutnya, selain mengambil tindakan tegas kepada penyebar, adalah menjadi bertanggungjawab kementeriannya dalam memastikan penerangan dan maklumat penting yang benar dan sahih sampai kepada semua lapisan masyarakat bagi mengelak masyarakat umum percaya kepada berita palsu.

“Jadi sekiranya kita mahu melihat sesuatu perkara itu benar atau tidak, semua boleh merujuk kepada portal ‘Sebenarnya.my’. Selain itu, agensi berita rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga mengambil langkah proaktif untuk memastikan masyarakat mendapat berita dan maklumat sahih, ditentusahkan dan terkini,” katanya pada sidang media bersama Hanapi di Putrajaya.

Awal bulan ini, Peguam Negara, Tommy Thomas menyatakan tindakan tegas akan diambil terhadap penyebar maklumat palsu di bawah Kanun Keseksaan dan ia adalah susulan dari “peningkatan berita palsu mengenai wabak koronavirus” dan memutuskan mereka yang melakukan perkara itu di Internet hendaklah disiasat, dan sekiranya wujud kes, dituduh di mahkamah. – 21 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen