TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin menegaskan kerajaan mempunyai jumlah ahli Parlimen yang mencukupi bagi memastikan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 dapat diluluskan di Dewan Rakyat.
Hanipa berkata, ahli Parlimen berada di luar Dewan Rakyat pada Selasa malam lepas kerana suhu sejuk di dalam dewan.
“Kita ada cukup ahli Parlimen cuma kadang-kadang mereka bukan mudah untuk berada dalam dewan dalam tempoh yang lama kerana dalam dewan tersebut sangat sejuk.
“Sebab itu kita loceng supaya Speaker boleh memanggil Ahli-ahli Parlimen masuk ke dalam dewan untuk mengundi atau mencukupkan kuorum bersidang,” katanya kepada media ketida ditemui lobi Parlimen hari ini.
Dalam kejadian malam tadi, pembangkang meminta supaya dibuat undian belah bahagi ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) oleh Timbalan Menterinya Hannah Yeoh.
Keadaan sedikit kecoh apabila kedua-dua blok penyokong kerajaan dan pembangkang mempersoalkannya jumlah ahli Parlimen yang berada di dalam dewan sehingga memaksa Speaker membunyikan loceng bagi memanggil ahli Parlimen masuk ke dewan.
Ketika loceng dibunyikan, jumlah ahli Parlimen pembangkang yang berada di dalam dewan melebihi jumlah ahli Parlimen kerajaan.
Bagaimanapun, selepas kiraan dibuat, usul itu diterima setelah lebih suara yang menyokong iaitu 32 orang berbanding 28 orang yang menolak.
Mengulas lanjut perkara itu, Hanipa menyifatkan tindakan pembangkang meminta supaya dibuat undi belah bahagi adalah suatu perkara yang normal yang mana turut dilakukan oleh pihaknya sewaktu menjadi pembangkang dahulu.
“Dahulu kita buat dan sekarang giliran mereka tiru kita. Tiada masalah perkara kecil sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Johari Abdul menyifatkan ketidakhadiran ahli Parlimen kerajaan adalah disebabkan keletihan membahaskan belanjawan disamping program-program lain yang berjalan serentak.
“Dalam sesi bajet ini, kita balik lewat. Sampai rumah pun sudah jam 12 malam, esok kena bangun pagi lagi, letihlah.
“Keduanya, terdapat banyak program pada masa yang sama hujung tahun ini melibatkan kementerian dan agensi kerajaan. Walaupun kita mempunyai jadual tugasan, kadang-kala tidak terikut. Tetapi kita akan sentiasa pastikan kuorum kita cukup,” katanya.
Susulan daripada itu kata Johari, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Rakyat bagi memastikan ahli Parlimen mempunyai masa yang berkualiti untuk berbahas.
“Mungkin kita kena bincang dengan Speaker balik untuk lihat bagaimanakah ahli Parlimen boleh dapat masa berkualiti. Sekarang agak meletihkan,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong membidas alasan keletihan tersebut kerana isu tidak kuorum di Dewan Rakyat bukan kali pertama terjadi
Beliau menyifatkan kenyataan Johari itu sekadar untuk menutup kelemahan ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengambil serius perbahasan di Dewan Rakyat.
“Alasan tersebut hanya untuk menutup kelemahan mereka. Mereka tidak ambil perhatian atau tidak ambil serius. Terdapat 127 Ahli Parlimen kerjaan, kenapa mereka tidak boleh pastikan lebih 40 atau 60 Ahli Parlimen yang berada dalam Dewan pada satu-satu masa,” soalnya.
Jelas Presiden MCA itu, tindakan pembangkang meminta undi belah bahagi adalah untuk mengajar Ahli-ahli Parlimen kerajaan supaya hadir sidang Dewan Rakyat.
“Ini adalah bajet mereka, kena mereka sendiri tidak datang? Malah tidak ada seorang pun menteri yang berada dalam Dewan. Lepas bunyi loceng baru datang dua menteri. Ini sangat teruk,” ujarnya.
Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah berulang kali menegur sebilangan ahli Parlimen yang tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana ia memberi gambaran seolah-olah mereka tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. – 27 November, 2019.
Komen