Larangan ke atas kapal persiaran dari China cetus kebimbangan pelancong


Angie Tan

Berita kapal persiaran mewah Diamond Princess yang dikuarantin di pelabuhan Yokohama, Jepun sejak 4 Februari lalu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelancong.– Gambar EPA, 19 Februari, 2020.

PEMAIN industri pelancongan tempatan bimbang dengan keputusan Malaysia untuk menyekat kapal persiaran dari China, dan menyatakan langkah itu akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelancong dan menjejaskan industri.

Ejen pelancongan Jackson Thian memberitahu The Malaysian Insight bahawa larangan itu akan memberi kesan kepada hotel, restoran dan agensi pelancongan.

“Pesawat hanya boleh membawa beberapa ratus penumpang dalam satu-satu masa tetapi kapal persiaran boleh membawa 2,000 hingga 3,000 pelancong. Ia membawa jumlah pelancong yang  besar dan dianggap sebagai sumber pendaatan kepada industri pelancongan,” katanya.

Hampir kesemua pakej kapal persiaran di Asia yang diuruskan syarikatnya dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19.

Pembatalan itu turut disebabkan oleh berita kapal persiaran mewah Diamond Princess yang dikuarantin di pelabuhan Yokohama, Jepun sejak 4 Februari lalu selepas penumpangnya disahkan positif virus berkenaan.

Sejumlah 2,666 penumpang dari lebih 50 negara dikuarantin dalam tempat penginapan mereka di kapal mewah berkenaan. Lebih 400 penumpang termasuk dua rakyat Malaysia disahkan positif Covid-19.

Pengarah Urusan Asia Cathay Travel, Cooper Huang berkata laporan berita mengenai virus berkenaan dan impaknya terhadap pelancong menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelancong dan ia menjejaskan rancangan perjalanan mereka.

“Ia dilaporkan dalam berita setiap hari dan ia memberi kesan kepada sentimen pelancong. Banyak yang menjadualkan semula perjalanan mereka atau meminta bayaran balik.”

Lebih banyak berita, seperti pengumuman Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dua hari yang lalu mengenai sekatan sementara ke atas semua kapal pelayaran antarabangsa yang berlepas dari atau berlabuh di pelabuhan China, boleh menambah kebimbangan pelancong.

Kebanyakan pelancong menjadualkan semula perjalanan atau membatalkan tempahan berikutan kebimbangan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan menganggarkan wabak Covid-19 telah menyebabkan penurunan ketibaan pelancong sehingga 50% terutamanya melalui kapal persiaran.

Ini bagaimanapun bukan disebabkan pengumuman Wan Azizah yang hanya dibuat baru-baru ini, tetapi kerana perniagaan persiaran sememangnya terjejas oleh wabak berkenaan.

Tan berkata, wabak Covid-19 mengimbas kembali ingatan bagaimana teruknya wabak SARS yang menjejaskan pelancongan pada 2003.

“Wabak SARS benar-benar memberi kesan kepada industri pelancongan. Hari ini, dengan virus baharu ini, agensi pelancongan yang kecil terpaksa meminta pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji bagi membantu krisis yang dihadapi syarikat,” katanya.

Tan berkata, satu-satunya penyelesaian yang ada ialah dengan menunggu wabak itu reda, dan pelancong untuk kembali yakin meneruskan perjalanan mereka.

Sementara tu Pengerusi Persatuan Promosi Pelancongan Malaysia-China (MICA) Dr Angie Ng berkata sekatan berkenaan walaupun bersifat sementara, akan memberi kerugian besar kepada industri kerana kapa persiaran mampu membawa pelancong dalam jumlah yang besar.

Tetapi beliau bersetuju dengan kebimbangan orang ramai terhadap kesihatan mereka dan usaha untuk mengekang penularan wabak berkenaan masih menjadi keutamaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk menangani kesan wabak itu pada 27 Februari ini.

Pakar ekonomi telah mencadangkan agar pakej itu disertakan pengecualian cukai pelancongan.

Setakat ini, wabak Covid-19 meragut hampir 1,900 nyawa dan menjangkiti 73,000 orang di lebih 25 negara.

Malaysia setakat ini merekodkan 22 kes Covid-19, yang mana 13 daripadanya telah sembuh dan keluar dari hospital. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen