KESEMUA kapal persiaran yang berlepas atau singgah di pelabuhan China disekat dari memasuki Malaysia, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencara Pusat itu berkata keputusan itu dibuat berikutkan pengesanan kes positif Covid-19 ke atas penumpang sebuah kapal dari negara itu.
“Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di China daripada memasuki Malaysia,” katanya.
Jelasnya, kes itu melibatkan seorang penumpang wanita 83 tahun warga Amerika Syarikat di atas kapal tersebut yang kini berlabuh di Kemboja.
Wanita berkenaan merupakan satu-satunya penumpang positif Covid-19 di antara semua 145 penumpang yang dibawa pulang melalui Malaysia, katanya.
Kesemua penumpang lain didapati negatif Covid-19 selepas saringan, kata timbalan perdana menteri.
Menurut Dr Wan Azizah, wanita berkenaan yang merupakan kes ke-22 positif Covid-19 kini dirawat di Sungai Buloh.
The Westerdam membawa 2,257 orang terdiri daripada 1,455 penumpang dan 802 anak kapal.
Ia pada awalnya berlabuh di Hong Kong selama satu hari dan meneruskan perjalanan 14 hari pada 1 Februari.
Kapal tersebut berlabuh di Sihanoukville, Kemboja pada 13 Februari selepas disekat daripada berlabuh oleh beberapa negara. – 16 Februari, 2020.
Malaysia sekat semua kapal persiaran dari China
Komen