Pengunjung dari Jiangsu, Zhejiang pula disekat elak koronavirus


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat sepenuhnya sekatan keluar masuk ke China. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Februari, 2020.

MALAYSIA memperluas sekatan ke atas pengunjung yang melawat dua lagi wilayah China, Jiangsu dan Zhejiang untuk mengekang penularan jangkitan koronavirus, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri berkata, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan menyekat perjalanan mengikut wilayah yang dikenakan perintah berkurung oleh kerajaan China.

“…Dengan ini (sekatan) diperluaskan kepada dua lagi wilayah iaitu wilayah Zhejiang (lima bandar) dan Wilayah Jiangsu (dua bandar) dengan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Satu lagi wilayah, Hubei yang meliputi pusat penularan virus tersebut di Wuhan, sudahpun dikenakan sekatan sejak bulan lalu.

Katanya, sekatan itu dibuat tanpa mengira kerakyatan.

Wan Azizah berkata, Jabatan Imigresen perlu menghalang semua pengunjung yang melawat tiga wilayah berkenaan dari masuk ke Malaysia dalam masa 14 hari selepas kunjungan.

Beliau juga berkata, Putrajaya bagaimanapun tidak berhasrat mengenakan sekatan keluar masuk dari negara China kerana keadaan semakin terkawal.

“Memandangkan situasi masih terkawal, didapati tidak ada keperluan untuk menyekat terus perjalanan keluar masuk dari negara China kecuali dari tiga wilayah (Hubei, Jiangsu dan Zhejiang),” katanya.

Agensi terlibat termasuk Kementerian Kesihatan juga diminta meningkatkan kawalan di pintu masuk negara, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia di ibu negara, hari ini.

Novel koronavirus 2019 nC0V setakat ini menjangkiti lebih 34,500 orang. Ia turut membunuh lebih daripada 800 orang, kesemuanya di China.

Angka itu kini lebih tinggi daripada jumlah kematian global disebabkan oleh Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh 774 orang pada 2002-2003. – 9 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen