Bentuk kerja baharu perlu perubahan dalam keselamatan sosial, kata menteri


Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, pihaknya melalui Perkeso telah mengambil langkah untuk negara menghadapi gelombang perubahan pendigitalan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

BENTUK kerja baharu memerlukan perubahan dalam strategi, langkah-langkah keselamatan, kesihatan pekerjaan serta perlindungan keselamatan sosial selaras dengan transformasi kemajuan teknologi.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran dalam kenyataan hari ini berkata atas kesedaran itu, pihaknya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengambil langkah untuk negara menghadapi gelombang perubahan pendigitalan.

Katanya, antara langkah yang diambil adalah memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan yang bekerja sendiri, memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan dan mengautomasi proses teras keselamatan sosial.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa adalah tepat pada masanya bagi kita menerima transformasi yang dibawa oleh pendigitalan dalam dunia pekerjaan dan menggerakkan tindakan untuk menanganinya secara positif.

Peralihan ini boleh menjadi satu cabaran dan jika dikendalikan dengan betul, ia dapat mewujudkan peluang yang memberi manfaat kepada pekerja di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata Seminar Teknikal ISSA Mengenai Pendigitalan - Bentuk Pekerjaan Baharu: Fokus Kepada Risiko Pekerjaan, menghimpunkan pakar keselamatan sosial dan teknologi digital dari seluruh dunia untuk melihat kesan perubahan pendigitalan ke atas aspek keselamatan sosial seperti keselamatan pekerja, kesihatan pekerjaan, pemulihan, caruman dan kutipan caruman, serta merumuskan cadangan untuk menanganinya.

Kira-kira 200 perwakilan dan penceramah dari seluruh dunia menyertai seminar selama tiga hari yang bermula di Kuala Lumpur hari ini. – Bernama, 18 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen