MTUC tuntut penjelasan Kula isu pekerja Pakistan


Setiausaha Agungnya MTUC J. Solomon berkata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran sepatutnya mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada KDN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2020.

MENTERI Sumber Manusia M. Kula Segaran tidak boleh lepas tangan mengenai laporan bahawa Putrajaya setuju membawa masuk 150,000 warga Pakistan untuk diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata Kula sepatutnya mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Solomon kebanjiran warga asing akan menjejaskan hak dan kepentingan orang awam serta peluang kerja rakyat tempatan.

“Sebagai menteri sumber manusia, beliau sendiri yang perlu mendapatkan penjelasan daripada KDN, bukannya memberikan peranan itu kepada media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Solomon juga mengingatkan Kula Segaran bahawa pengambilan pekerja asing perlu mendapat kelulusan dari Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, beliau berkata kebanjiran pekerja Pakistan akan memburukkan lagi isu peningkatan pekerja asing yang dibayar dengan upah rendah di negara ini.

Tambah beliau, kemasukan warga Pakistan, terutamanya bagi pekerjaan sensitif seperti pengawal keselamatan juga membimbangkan rakyat Malaysia.

Malah ia menimbulkan persoalan mengenai keperluan memberikan pekerjaan itu kepada pekerja kurang kemahiran.

“Membawa ribuan pekerja kurang berkemahiran warga Pakistan yang dibayar paling tinggi RM1,200 sebelum ia dipotong, yang diberi kepercayaan menjaga keselamatan masyarakat, premis dan bank adalah sesuatu yang menggusarkan.

“Apatah lagi menteri sumber manusia tidak melihat keperluan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenainya atau membangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” kata Solomon. – 12 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen