Kerana Covid-19, pengusaha pelancongan Langkawi terpaksa cari pasaran baharu


Zaim Ibrahim

Pengusaha pelancongan di Langkawi terjejas teruk kerana banyak tempahan dari China dibatalkan ekoran penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari 2020.

PENGUSAHA industri pelancongan di Langkawi merancang untuk mencari pasaran baharu di negara lain bagi mengatasi kemerosotan tempahan yang teruk ekoran jangkitan virus Covid-19 di China.

Pengusaha ini berkata, pendapatan mereka terjejas teruk apabila banyak tempahan dan penerbangan dari China dibatalkan sejak jangkitan virus itu menular bulan lalu.

Ini kerana, tahap kepenghunian di hotel-hotel di Langkawi kini hanya pada kadar 20% hingga 30%, kata para pengusaha kepada The Malaysian Insight.

Menurut Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah/ Perlis, perkara itu berlaku kerana kadar pelancong ke pulau legenda itu dianggarkan menyusut 35%-40%.

Pengerusinya Mohd Yusin Mohd Yatim berkata perkara itu banyak menjejaskan hotel yang menumpukan pelancong dari negara China.

“Saya tiada angka yang tepat tentang penurunan pelancong tetapi saya anggarkan 35%-40%.

“Hotel dan ejen pelancongan yang banyak terkesan ialah mereka yang banyak mengharapkan pelancong dari China.

“Bagi hotel dan ejen pelancongan yang tumpu kepada negara Eropah, mereka tidak terlalu terkesan,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Mereka bagaimanapun menganggap keadaan tersebut sebagai “ujian” yang tidak diduga dan akan mencari pasaran baharu di negara lain selain China.

Tambah Yusin, peranan Matta untuk mempromosikan pelancongan Malaysia seperti yang dijadualkan akan tetap berlangsung.

“Minggu ini, Matta adakan ekspo pelancongan membabitkan ejen-ejen pelancongan seluruh Malaysia untuk promosikan Kedah termasuk Pulau Langkawi.

“Sekarang kami sedang fokus (pasaran) domestik dan negara Eropah dan beberapa negara negara lain. Kami harap strategi ini akan tangani kekurangan pelancongan dari negara China.

“Pada 4 hingga 8 Mac depan, Matta akan sertai ekspo pelancongan terbesar ITB Berlin, Jerman dan kita akan promosikan Malaysia serta Langkawi dengan produk pelancongan terbaru,” tambahnya.

Yusin turut berkata, kerajaan pada waktu ini juga perlu melihat keperluan untuk menangguh sementara cukai pelancongan dan cukai perlepasan ke luar negara untuk menarik lebih ramai pelancong.

Sementara itu, Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Phisol Ishak berkata pengusaha tidak boleh sekadar mengharap kerajaan untuk membantu mereka.

Pemain industri perlu bersikap positif untuk menangani kesan Covid-19 terhadap Langkawi, jelasnya yang akan menumpukan kepada pasaran Jepun.

“Di bawah persatuan saya, kami akan tarik pelancong Jepun ke Langkawi. Bulan April kita akan bawa 20 hingga 30 pemain industri untuk promosikan Langkawi selama seminggu di Tokyo dan Osaka.

“Pada tahun 1990-an, pasaran dari Jepun sangat penting kerana kita ada penerbangan terus Langkawi-Jepun. Jadi kita komited untuk bawa lebih ramai warga Jepun ke Langkawi,” tambah beliau.

Jelas Phisol, walaupun pelancong dari China menurun, kedatangan pelancong dari Eropah masih pada kadar yang memuaskan.

kerajaan pada waktu ini juga perlu melihat keperluan untuk menangguh sementara cukai pelancongan dan cukai perlepasan ke luar negara untuk menarik lebih ramai pelancong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

“Sekarang (pelancong dari) negara Scandinavia pun turun, termasuk beberapa negara Eropah. Untuk promosikan Langkawi, kita perlu sentiasa teruskan dan bergerak,” kata beliau.

Jangkitan Covid-19 kini mengorbankan lebih 1,700 orang di China dan lebih 70,500 orang dijangkiti virus itu di seluruh negara itu.

Kerajaan Malaysia kini menyekat semua pengunjung dari tiga wilayah China yang paling teruk terjejas daripada memasuki negara ini – Hubei, Zhejiang dan Jiangsu.

Selain itu, semua kapal persiaran yang berlepas atau singgah di pelabuhan China juga tidak dibenarkan berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Malaysia setakat ini mencatatkan 22 kes jangkitan Covid-19. Lapan daripadanya sudahpun disahkan sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

Seorang daripadanya merupakan seorang kanak-kanak perempuan warga China yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, awal Februari lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga turut menyatakan kesediaan mencari pasaran baharu di Eropah, Amerika Syarikat, dan Asia Tengah bagi menangani penyusutan pelancong warga China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir menegaskan kerajaan perlu bergerak pantas kerana pengusaha industri kini tertekan akibat virus itu.

Kata beliau, hotel di Pantai Cenang yang biasanya dipenuhi orang ramai turut terjejas teruk.

“Bilik-bilik di Pantai Cenang kita tidak risau sebelum ini tetapi sekarang, kadar penghunian di situ menurun 28%-30%. Banyak pembatalan bilik terutama ejen yang tumpu pelancong China.

“Kita kena lebih kerap promosi dan uar-uarkan (kepada) dunia bahawa Langkawi selamat untuk melancong,” katanya.

Tambah Zainudin, industri pelancongan Langkawi juga dilihat malap sejak virus itu merebak ke Malaysia.

“Sudah ada syarikat pelancongan gulung tikar. Setakat ini, tiga ejen pelancongan tempatan yang bawa warga China ke Langkawi terpaksa hentikan operasi,” katanya.

Kedah sebelum ini mensasarkan kedatangan 5 juta pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Namun Zainudin bimbang, sasaran itu tidak mampu dicapai melihat keadaan terkini.

“Saya bimbang sasaran tidak capai, saya rasa 2 juta pelancong sahaja untuk tahun ini. Sebab itu kita kena perbanyakkan kempen, tunjukkan Langkawi selamat untuk dikunjungi,” tegasnya. – 18 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen