Selepas Covid-19, Malaysia mahu tarik pelancong dari Barat, kata PM


Zaim Ibrahim

Tumpuan Malaysia sekarang ialah menarik pelancong dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Tengah, kata Dr Mahathir selepas peringkat akhir perlumbaan Le Tour de Langkawi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Februari, 2020.

MALAYSIA akan memberi fokus kepada pasaran baharu selain di Asia Timur untuk menggalakkan pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020, kata Dr Mahathir Mohamad, susulan tercetusnya wabak koronavirus Covid-19.

Perdana menteri berkata tumpuan Malaysia sekarang ialah menarik pelancong dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Tengah.

“Tahun ini Tahun Melawat Malaysia, kita harap ramai datang tetapi kita hadapi masalah koronavirus.

“Tapi kita tumpu (untuk) tarik pelancong dari negara-negara barat, Asia Tengah dan juga Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang media di Langkawi, petang tadi.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan mensasarkan pelancong tempatan untuk bercuti di dalam negara, terutama mereka yang membatalkan rancangan untuk ke Asia Timur.

“Mereka yang nak ke China, Jepun, Korea dan sebagainya tidak dapat pergi dan mereka  (warga tempatan) boleh melancong dalam negara.. dengan itu hotel kita pun akan maju juga,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang selepas peringkat akhir perlumbaan Le Tour de Langkawi.

Mengulas mengenai acara basikal itu, Dr Mahathir berkata ia akan diteruskan kerana dilihat berkesan mempromosikan pelbagai tempat di Malaysia.

“Ini adalah satu pengiklanan baik untuk tarik pelancong ke Malaysia,” tambahnya, merujuk kepada liputan secara langsung acara itu oleh televisyen antarabangsa. 

Le Tour de Langkawi berakhir di pulau pelancongan itu hari ini, majlis penamatnya turut dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Februari, 2020.

Terdahulu, dalam sidang media pagi tadi Dr Mahathir berkata kerajaan sedang menangani dan mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya, pihak berkuasa kesihatan dan seluruh agensi kerajaan yang terlibat sudah bersiap sedia dari awal, termasuk mengambil langkah segera mengasingkan individu yang disyaki terkena jangkitan.

“Kita berjaga-jaga dari (peringkat) awal. Kita memeriksa mereka yang datang ke Malaysia terutama dari China dan kalau kita sangka mereka membawa virus itu kita masuk mereka dalam kuarantin 14 hari,” katanya.

Setakat ini, daripada 19 kes jangkitan Covid-19 yang disahkan di Malaysia, 13 daripadanya melibatkan warga China.

Empat individu yang dijangkiti Cobid-19 dilaporkan pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh hari ini.

Keempat-empat individu tersebut adalah kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura. Mereka terdiri daripada seorang wanita China berusia 66 tahun, dua cucunya berusia 2 dan 11 tahun, serta menantu perempuannya, 36. 

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 setakat ini tujuh orang. – 14 Februari, 2020.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen