MALAYSIA sedang menangani dan mengawal penularan wabak koronavirus baharu yang diberi nama Covid-19 dengan berkesan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, pihak berkuasa kesihatan dan seluruh agensi kerajaan yang terlibat sudah bersiap sedia dari awal, termasuk mengambil langkah segera mengasingkan individu yang disyaki terkena jangkitan.
“Kita berjaga-jaga dari (peringkat) awal. Kita memeriksa mereka yang datang ke Malaysia terutama dari China dan kalau kita sangka mereka membawa virus itu kita masuk mereka dalam kuarantin 14 hari.
“Orang kita di Wuhan yang dibawa balik juga dikuarantin 14 hari. Dengan cara ini setakat ini kita bernasib baik kerana ada 19 kes saja dan daripada 19 itu kebanyakan warga China.
“Setakat ini (usaha kita) berkesan. Saya harap kerjasama orang ramai kita dapat banteras lindungi negara daripada penyakit (Covid-19),” kata Dr Mahathir pada sidang media di Langkawi, hari ini.
Perdana menteri ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Villa Sirehan dan lawatan ke tapak projek Rebungan Resort di Bukit Gaong, Langkawi.
Setakat ini, daripada 19 kes jangkitan Covid-19 yang disahkan di Malaysia, 13 daripadanya melibatkan warga China.
Sementara itu, Dr Mahathir mengesahkan beliau berhubung dengan Presiden China, Xi Jinping dan berbincang mengenai perkembangan isu Covid-19.
“Kita nyatakan perasaan simpati kita kepada Xi Jinping dan berterima kasih kerana jelas sekali Presiden China mengambil berat tentang perkara ini dan ambil tindakan luar biasa untuk banteras penularan penyakit.
“Saya fikir dia (kerajaan China) membuat apa yang mungkin dilakukan dan kita berterima kasih. Dia tolong kita dapat membawa balik rakyat kita yang ada di sana,” katanya.
Media di China semalam melaporkan Xi berbual melalui telefon dengan Dr Mahathir, yang disifatkan oleh Presiden China itu sebagai “sahabat lama rakyat China”.
Dalam perbualan itu, Xi dilaporkan memberi jaminan bahawa China akan mengurangkan kesan wabak Covid-19 kepada perkembangan ekonomi republik itu.
Xi juga dilaporkan berkata pihaknya akan terus bekerjasama secara telus dengan negara anggota Asean demi membendung wabak itu daripada terus merebak.
Katanya, hubungan baik Malaysia dan China tidak akan terjejas kerana wabak itu. – 14 Februari, 2020.
Komen