Calon pemilihan Bersatu usah serang peribadi lawan, kata Syed Saddiq


SM Amin

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman khuatir serangan peribadi yang melampau akan menyebabkan perpecahan dalam Bersatu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2020.

KETUA Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap calon pemilihan Bersatu fokus untuk menonjolkan kebolehan masing-masing dan tidak menyerang peribadi lawan.

Menteri itu berkata, beliau khuatir serangan peribadi yang melampau akan menyebabkan perpecahan dalam Bersatu khususnya Armada selepas pemilihan selesai.

“Kita pastikan pertandingan itu dijalankan dengan sihat dan politik pembunuhan karektor ini perlu dihentikan.

“Kita tonjolkan kebolehan masing-masing, apa sumbangan kita, apa kita boleh buat  untuk menggerakkan parti jauh ke hadapan.

“Saya berharap apabila tamat sahaja pemilihan, jangan bina tembok-tembok untuk memisahkan kita,” katanya kepada pemberita selepas satu program bersama seorang calon ketua Bersatu bahagian.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang bertanding untuk mempertahankan jawatan ketua Armada Bersatu juga berharap calon yang tewas akan kekal bersama parti selepas pemilihan sulung itu berakhir.

“… Yang menang jangan sisihkan yang kalah kerana kekuatan kita adalah kekuatan bersama,” katanya lagi.

Kebimbangan sama turut disuarakan beberapa pemimpin akar umbi yang melihat kedua-dua Syed Saddiq dan pencabarnya Mohd Muzammil Ismail mempunyai pengaruh besar dalam sayap itu.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan itu, Syed Saddiq berkata beliau gembira kerana ramai pemimpin muda berani menunjukkan kemampuan dengan bertanding jawatan ketua Bersatu bahagian.

Beliau berharap ahli dapat melihat sumbangan calon tersebut sebagai pertimbangan utama dan tidak hanya menyokong calon yang sudah lama berkecimpung dalam politik.

“Untuk parti ini terus mara ke hadapan, kita perlu memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada tokoh-tokoh anak muda untuk bersama menyumbangkan tenaga mereka dengan mereka yang berkecimpung bertahun-tahun lamanya pengalaman dalam politik.

“Kita bukan hendak sisihkan yang lama tetapi kita gabungkan yang muda dan berpengalaman, cantumkan idealisme dan pragmatisme supaya dapat digerakkan sekali,” katanya.

Syed Saddiq hadir dalam program sarapan pagi bersama Bersatu Titiwangsa di Kampung Baru bersama calon Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bertanding jawatan ketua bahagian tersebut.

Fayhsal ketika ditemui berkata selain menjaga kebajikan ahli, beliau akan berkempen untuk memperkasa gerak kerja bahagian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Pengundi baharu sudah bertambah. Berdasarkan pindaan had umur pengundi yang dibuat oleh Syed Saddiq di Parlimen, terdapat 7.8 juta pengundi baharu kali pertama dari kalangan belia.

“Ini antara golongan paling banyak di Titiwangsa,” katanya.

16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu juga menurunkan had umur layak menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun. – 16 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen