Biar cawangan tentukan status bangunan Umno Selangor, kata badan bertindak


SM Amin

Polemik penjualan bangunan Umno Selangor bermula sejak Ogos 2018 selepas Umno negeri menghadapi masalah kewangan yang kritikal susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun parti dua bulan sebelum itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Februari, 2020.

KEDUDUKAN bangunan Umno Selangor, sama ada perlu dijual atau tidak, biarlah ditentukan oleh ahli parti di akar umbi dalam mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian yang bermula hujung minggu ini, kata Badan Bertindak Selamatkan Bangunan Umno Selangor.

Cawangan Umno di seluruh Malaysia ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat tahunan antara 15 Februari hingga 19 April ini, sementara peringkat bahagian antara 15 Jun hingga 30 Julai.

Pengerusi badan bertindak Mohd Isa Abu Kassim berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang menghentikan penjualan bangunan ibu pejabat parti di Shah Alam sekiranya pihak pengurusan Umno Selangor bertegas tidak mahu mempedulikan suara di akar umbi.

“Kita mendesak supaya cadangan penjualan bangunan ini dibawa ke peringkat akar umbi melalui mesyuarat Umno cawangan dan mesyuarat bahagian sebagai usul.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut lunas perundangan jika Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor berkeras untuk meneruskan hasrat penjualan bangunan tersebut tanpa mengambil kira syor daripada ahli Umno akar umbi,” katanya dalam satu sidang media di Shah Alam.

Beliau juga mendesak Umno Selangor menubuhkan sebuah sekretariat penilai yang dipengerusi seorang ketua Umno bahagian yang bukan anggota pengurusan parti negeri untuk menyemak keputusan parti negeri. 

Sekretariat itu perlu dianggota oleh wakil sayap serta ahli profesional yang mewakili akar umbi, katanya.

Polemik penjualan bangunan Umno Selangor bermula sejak Ogos 2018 selepas Umno negeri menghadapi masalah kewangan yang kritikal susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun parti dua bulan sebelum itu.

Pada 5 Februari lalu, mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor yang dipengerusikan Mat Nadzari Ahmad Dahlan memutuskan untuk menjual bangunan tersebut kepada sebuah syarikat swasta. Keputusan itu bagaimanapun tidak mencapai kata sepakat mesyuarat.

Dalam mesyuarat tersebut, sebanyak 12 ketua bahagian Umno termasuk seorang wakil menyokong,, empat ketua bahagian membantah dan enam yang lain mengambil pendirian berkecuali. 

Pengerusi badan bertindak Mohd Isa Abu Kassim berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang menghentikan penjualan bangunan ibu pejabat parti di Shah Alam sekiranya pihak pengurusan Umno Selangor bertegas tidak mahu mempedulikan suara di akar umbi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Februari, 2020.

Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Jahaya Ibrahim yang menghantar wakil ke mesyuarat itu bagaimanapun kemudian membantah cadangan penjualan bangunan.

Susulan daripada itu, Isa pada 10 Februari lalu memasukkan kaveat ke atas hartanah tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling.

Menurut Isa, beliau tiada masalah untuk menarik semula kaveat tersebut sekiranya usul penjualan bangunan Umno itu dipersetujui majoriti ahli akar umbi dan seluruh kepimpinan Umno di peringkat bahagian.

Katanya, kaveat itu dimasukkan kerana pihaknya melibat pengurusan Umno negeri gagal mengemukakan cadangan penjualan dan perancangan yang menyakinkan.

“Pengerusi perhubungan mestilah telus dalam urusan penjualan ini dengan mengemukakan surat tunjuk minat beserta harga pembelian daripada pihak yang berminat dan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri,” katanya.

Sementara itu, Isa menegaskan beliau sedia membawa isu penjualan bangunan Umno Selangor ke agensi anti rasuah kerana mendengar ada perkara mencurigakan mengenai penjualan bangunan itu.

“Saya difahamkan sebahagian ketua bahagian setuju ditawarkan, ganjaran RM80,000, RM100,000 dan sebagainya.

“Jika siasatan kita dapati perkara itu benar dan kita dapat bukti cukup, saksi berani ke depan, kita akan bawa ke SPRM kalau masih berkeras nak jual,” katanya.

Dalam pada itu, Isa berkata beliau akan menghantar memorandum kepada ibu pejabat Umno  meminta Presiden Ahmad Zahid Hamidi campur tangan.

“Kita juga minta supaya presiden menilai semula pelantikan Nadzari sebagai pengerusi perhubungan negeri.

“Ada banyak cara lain untuk selamatkan bangunan Umno. Ada pejuang Umno yang ikhlas membantu jika pihak perhubungan negeri buka ruang untuk diskusi,” ujarnya. – 13 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen