Mesej Musa Aman kepada Shafie Apdal: Jangan cuba alih perhatian


Ketua Menteri Sabah, Musa Aman berkata Shafie Apdal seeloknya lebih tenang menangani keadaan dan bukannya melemparkan tuduhan dan cuba membabitkan orang lain. – Gambar Facebook, 7 November, 2017.

SHAFIE Apdal sepatutnya membenarkan dahulu agensi anti rasuah menyiasat dakwaan penyelewengan dana kerajaan di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan bukannya cuba mengalihkan perhatian dengan menyerang orang lain, kata Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Katanya, SPRM seharusnya dibiarkan menjalankan siasatan tanpa gentar dan memihak, dan tentunya bukan juga dengan gembar-gembur penuh drama.

Musa memberi nasihat itu beberapa jam selepas Shafie, semasa membahaskan Bajet 2018 di Parlimen, mengaitkan dirinya dengan sebuah projek yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Musa, Shafie sepatutnya lebih “gentleman” dan tidak menggunakan imuniti parlimen serta mengalihkan tumpuan daripada perhatian yang sedang diberikan kepadanya.

Shafie seeloknya lebih tenang menangani keadaan dan bukannya melemparkan tuduhan dan cuba membabitkan orang lain, kata Musa.

“Tidak perlu hendak gelabah. Tidak ada apa yang hendak ditakutkan kalau tidak salah, seperti kata peribahasa Melayu, berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya dalam satu kenyataan media, lewat petang ini.

Shafie hari ini mendedahkan anak saudara Musa yang sebenarnya ada kaitan dengan projek loji rawatan air di Sungai Intan, Semporna yang kini sedang disiasat oleh SPRM.

“Mungkin sesetengah orang ada masa untuk merungut dan gembar-gembur di merata tempat tapi saya tidak sebab saya ada negeri yang hendak dijaga,” tambah Musa.

Dalam ucapan perbahasannya Shafie berkata beliau ditohmah mendapat projek loji rawatan air itu melalui syarikat proksi sedangkan tender yang dibuka diberikan kepada anak buah Musa.

Shafie juga mendedahkan nama Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sabah, Shahelmey Yahya sebagai perunding projek.

Sementara itu, Shahelmy yang disebut oleh Shafie sebagai perunding projek loji rawatan air Sungai Intan enggan mengulas perkara yang dibangkitkan kerana masih dalam siasatan SPRM.

“Saya bimbang sekiranya saya cakap apa-apa ia boleh mendatangkan prejudis dan menjejaskan siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

SPRM bulan lepas menahan Shafie selama lapan hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana KKLW semasa Ahli Parlimen Semporna itu jadi menterinya antara 2009 hingga 2015.

Dana berjumlah RM1.5 bilion yang didakwa diseleweng itu sepatutnya digunakan bagi tujuan bekalan air dan elektrik serta membuat jalan raya di Sabah.

Selepas dibebaskan daripada tahanan reman, Shafie berkata beliau akan mendedahkan segala-galanya tentang Musa di Parlimen.

Menurut Musa, selama ini beliau mendiamkan diri walaupun Shafie menyerangnya secara terbuka semasa ceramah politik mahupun di media sosial.

Selepas dibebaskan daripada tahanan reman itu juga, Shafie semasa berucap di Semporna menyindir Musa dengan mendakwa beliau tahu asal usul Ketua Menteri Sabah itu yang “tidak kaya” sewaktu menyertai Umno.

“Tetapi hari ini saya terpanggil untuk mengatakan sesuatu kerana beliau cuba mengaitkan saya dengan menyatakan di parlimen seseorang yang ada kaitan dengan dapat projek.

“Saya tidak tahu pun projek yang dimaksudkan. Saya ada keluarga yang besar. Saya tidak boleh halang mereka yang baik dengan Shafie daripada mendapat projek,” tambah Musa.

Musa juga menambah dakwaan Shafie dan Parti Warisan Sabah yang diketuainya bahawa siasatan SPRM bermotifkan politik tidak timbul kerana agensi anti rasuah itu turut menahan individu daripada parti pemerintah.

Antara yang ditahan oleh SPRM termasuk dua adik Shafie, Hamid dan Yusof.

Yusof adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Silam.

Selain itu, SPRM juga menahan dua pemimpin Pemuda Umno: Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim.

Shafie semalam dipanggil sekali lagi oleh agensi anti rasuah itu bagi membantu siasatan berhubung satu lagi kes lain berkaitan dana infrastruktur pembanguna Universiti Malaysia Sabah (UMS). – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen